23 September 2014

Pemilihan exco Selangor dijangka selesai Khamis ini, kata Azmin

Pemilihan barisan exco kerajaan Selangor yang baharu akan selesai selewat-lewatnya Khamis ini sebelum majlis angkat sumpah jawatan itu berlangsung Jumaat, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata perbincangan akan dibuat untuk melihat, antara lain, kesesuaian komposisi exco daripada Pakatan Rakyat (PR) sejajar dengan titah Sultan Selangor supaya perkara itu diselesaikan segera.

Ditanya sama ada kedudukan 4 exco PAS dalam pentadbiran sebelum ini dikekalkan, beliau berkata sebarang keputusan mengenainya bergantung kepada perbincangan itu. "Kita akan cuba selesaikan rundingan dalam masa satu atau dua hari dan kita harap satu keputusan dapat dicapai sebelum Khamis, sebelum majlis angkat sumpah," katanya kepada pemberita di Istana Alam Shah di Klang, hari ini.

Azmin, 50, sebelum itu mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar Selangor ke-15 di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di istana berkenaan. Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, mengambil alih jawatan menteri besar daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menerajui Selangor lebih 6 tahun bermula 2008.


Komposisi exco kerajaan negeri semasa pentadbiran Khalid merangkumi 4 wakil PAS dan masing-masing tiga daripada DAP dan PKR. Exco PAS terdiri daripada Iskandar Abdul Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi dan Dr Halimah Ali manakala PKR pula diwakili Dr Rodziah Ismail, Elizabeth Wong Keat Ping dan Dr Daroyah Alwi. Tiga exco DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V Ganapathi Rao.

Namun, pada 13 Ogos lepas, Khalid memecat 6 anggota exco daripada DAP dan PKR kerana didakwa mengkhianati 10 akujanji dan sumpah kesetiaan terhadap Selangor. Ditanya kemungkinan barisan exco terdiri daripada semua muka baharu, Azmin berkata perkara itu bergantung kepada hasil perbincangan yang dilakukan bersama-sama pemimpin pakatan pembangkang.

Mengenai kebarangkalian menawarkan sebarang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azmin berkata pihaknya akan bertemu dahulu dengan wakil parti dalam pakatan pembangkang untuk berbincang mengenainya.

Mengenai laporan media Dr Wan Azizah akan menjadi 'MB kawalan' jika dilantik ke jawatan itu, Azmin berkata: "...keputusan sudah dibuat, saya mengangkat sumpah, jadi saya akan bekerjasama rapat dengan semua parti untuk memastikan janji kepada rakyat ditunaikan." Adun Bukit Antarabangsa itu turut menafikan kemungkinan beliau juga akan dilabel sama seperti Dr Wan Azizah iaitu 'dikawal' kuasa dalaman PKR. Beliau berkata, tindakannya akan berpandu kepada Perlembagaan negara dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor selain polisi yang dibuat Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Azmin berkata pihaknya kini berdepan cabaran besar apabila perlu menyatukan semua pihak dalam Pakatan Rakyat untuk bersama bekerja di bawah pentadbiran kerajaan negeri baharu. Beliau berkata, sebarang tindakan yang dilakukannya adalah untuk mengukuhkan gabungan tiga parti Pakatan Rakyat iaitu PKR-DAP-PAS pada masa depan.

Diminta mengulas kedudukan terkini Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin berkata:"Saya juga baru dimaklumkan semalam ada keputusan yang dibuat (berhubung kedudukan Anwar) dan saya akan lihat dulu apa keputusan itu." Mengenai perjanjian penstrukturan semula industri air Selangor, Azmin berkata beliau tidak mempunyai maklumat terperinci mengenainya, namun mesyuarat berhubung perkara itu akan diadakan bersama pihak terlibat termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammad Kushrin Munawi. Katanya, ia bagi membolehkan beliau mendengar sendiri taklimat terperinci berkenaan perjanjian itu selain melihat butiran yang dimuktamadkan sebelum ini. – TMI

No comments:

Post a Comment