09 September 2014

Hadi langgar perlembagaan parti, kata biro undang-undang PAS

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang didapati melanggar Perlembagaan PAS apabila membuat keputusan sendiri memilih calon menteri besar Selangor melangkaui kuasa Dewan Harian dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

 Setiausaha Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat, Abang Ahmad Kardee Abang Masagus berkata, tidak wujud sebarang peruntukan dalam perlembagaan parti itu mengenai jawatan presiden secara bersendiri, sebaliknya termasuk dalam Fasal 26 Perlembagaan PAS di bawah "Tugas-Tugas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat".

Kardee berkata, presiden tidak mempunyai kuasa pemutus tanpa bermesyuarat dengan AJK PAS Pusat terlebih dahulu mengenai apa sahaja perkara. Katanya, Fasal 27 (6) Perlembagaan PAS jelas menyatakan Dewan Harian yang merangkumi Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung dan sebagainya, perlu membawa keputusan mereka kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi kelulusan.


"Justeru, adalah aneh sekali apabila presiden secara tiba-tiba boleh bertindak seorang diri melangkaui kuasa Dewan Harian mahupun kuasa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang menurunkan kuasa kepadanya. "Lebih-lebih lagi, keputusan mengenai mencalonkan menteri besar di kalangan ahli Dewan Undangan PAS juga dibuat tanpa memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepada ahli Dewan Harian yang lain.
 
"Luham berpendapat sebarang tafsiran yang membenarkan presiden bertindak hingga ke tahap yang dinyatakan tersebut adalah bercanggah dengan roh, matan dan niat Perlembagaan PAS," katanya dalam kenyataan hari ini. Katanya, jawatan Presiden PAS berkonsepkan Perlembagaan, iaitu kuasa dan peranannya dihadkan Perlembagaan, maka sebarang tafsiran yang keluar dari konsep atau doktrin tersebut amat asing dan tidak boleh dipertahankan.

Mengulas tentang kenyataan Majlis Syura Ulama (MSU) yang menyokong tindakan Hadi pada 7 September lalu, Kardee berkata, mesyuarat Luham semalam juga memutuskan MSU bertindak melampaui kuasanya apabila badan itu membuat keputusan dalam isu yang melibatkan pelantikan menteri besar Selangor.

Katanya, kenyataan MSU itu membawa makna presiden mempunyai kuasa membuat apa-apa keputusan di luar mesyuarat AJK PAS Pusat, sekaligus menjadikan peranan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak lagi relevan. "MSU silap menyatakan bahawa kuasa presiden di bawah Fasal 26 (1) (a) Perlembagaan PAS adalah satu kuasa pemutus yang secara tersiratnya satu kuasa yang bersifat mutlak atau “veto”," katanya.

Katanya, MSU tidak berhak menghurai, menjelas dan menafsirkan mana-mana peruntukan Perlembagaan PAS dalam isu menteri besar, malah tidak ada keperluan untuk MSU terlibat dalam perkara yang tidak termasuk dalam bidang kuasa badan tersebut seperti yang digariskan dalam Perlembagaan PAS. Jelasnya, kuasa MSU adalah kuasa atas rujukan (referral) dan bukan kuasa "of first instance" atau kuasa yang sedia ada (inherent).

 "Dengan ketiadaan perselisihan faham dan pendapat tentang tafsiran Perlembagaan PAS berhubung isu pelantikan MB Selangor dan ketiadaan rujukan dibuat oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat kepada MSU bagi MSU menafsir Perlembagaan PAS, maka tindakan MSU mencampuri isu pelantikan MB Selangor itu adalah “non-starter," katanya. Katanya, isu pelantikan menteri besar Selangor melibatkan isu penyusunan, pengaturan dan pelaksanaan strategi politik yang jelas di bawah bidang kuasa Ahli Jawatankuasa PAS Pusat seperti yang diperuntukkan di bawah Fasal 26 (9) (a) Perlembagaan PAS.

"Oleh itu, jika MSU ingin menambah kuasa presiden yang tidak dinyatakan secara bertulis di dalam perlembagaan, maka perlulah dibuat pindaan perlembagaan di dalam Muktamar," tegasnya. Kardee turut mempertikaikan tahaluf siyasi PAS dengan DAP dan PKR apabila menghantar nama daripada PAS, sedangkan Hadi sebelum ini menyatakan PAS tidak akan menuntut jawatan itu kerana ia milik PKR.

"Luham percaya ini adalah berdasarkan kepada ketetapan Muktamar yang memutuskan bahawa PAS bertahaluf dengan Pakatan. Justeru, apabila nama Adun PAS turut dicalonkan sebagai menteri besar Selangor, tidakkah ia menyalahi perjanjian PAS di dalam Pakatan itu sendiri? "Tidakkah perlanggaran ini menjurus kepada pelanggaran keputusan Muktamar itu sendiri? Oleh itu, Luham berpendapat tidak wujud sebarang perselisihan faham dalam hal keputusan Muktamar ini yang perlu kepada tafsiran oleh MSU," katanya. – TMI

2 comments:

  1. banyak parti lain yang tak ikut 100% undang2 pun termasuk kerajaan sendiri. pandangan saya Luham tak cerdik. perkara sebegitu boleh dibincangkan peringkat dalaman. bukan pegi dedahkan pada seluruh alam. kalau ikut 100% undang2 sultan selangor tak layak pun pilih mb. dia layak luluskan je.

    ReplyDelete
  2. Berani berkokok luar gelanggang je. Tak ade ke sape-sape pembesar PAS bagi warning kat mangkok hanyun ni agar kalau nak cite hal-hal dalam kelabu, jangan la canang seluruh dunia. Kenapa orang PAS ni tak reti nak jaga air muka Presiden sendiri? Presiden itu umpama ahli keluarga sendiri ? Kalau kita kutuk Presiden umpama kita kutuk diri sendiri la. Pandai tapi tak cerdik.

    ReplyDelete