Bagi saya, sebagai seorang yang telah berada dalam PAS selama 30 tahun
lebih, saya melihat PAS sedang berhadapan dengan masalah dalaman yang
agak kronik sepertimana tidak pernah di hadapi sebelum ini. Saya
sebenarnya lebih selesa berhujjah dari melabel mana-mana kumpulan
sekalipun.
Walaubagaimanapun saya terpaksa berbuat demikian setelah melihat
munculnya golongan baru, yang tidak diketahui secara tepat kefahaman
mereka berhubung kaedah dan pendekatan perjuangan PAS dalam membawa
mesej Islam.
Mereka merupakan muka baru yang muncul kebelakangan ini, iaitu pada
tahun-tahun akhir 90an dan awal 2000. Tindakan mereka dilihat tersusun
dan mengikuti strategi tertentu ke arah mencapai matlamat tertentu.
Matlamat disebalik strategi yang sedang dilaksanakan adalah supaya
pendekatan inklusif yang diguna-pakai sekian lama oleh PAS sejak
terlaksananya konsep kepimpinan ulama' akan ditukar dengan pendekatan
yang lebih syadid dan tertutup. Ke arah tercapainya matlamat ini maka
beberapa langkah dilaksanakan mengikut strategi mereka. Saya menamakan
strategi ini ‘Langgar Golongan Profesional’.
LANGKAH PERTAMA STRATEGI ’LANGGAR GOLONGAN PROFESIONAL’
Langkah pertama mereka adalah menaikkan panji 'kepimpinan ulama' yang
mana maksud dan tafsirannya adalah terpesong dari kefahaman asal
golongan yang memperjuangkannya, termasuk diri saya sendiri.
Matlamat dari kefahaman asal tercapai dengan penubuhan Majlis Syura
Ulama yang memantau perjalanan Parti untuk menentukan parti tidak
terkeluar dari landasan syariat. Kefahaman ini memberi ruang yang begitu
luas bagi semua yang ingin memperjuangkan Islam untuk menyertai PAS dan
berperanan diperingkat perlaksanaannya, termasuk golongan profesional
dan aktivis masyarakat. Maka cogan-kata "gandingan ulama' dan
profesional" sering kedengaran pada zaman itu.
Kefahaman yang dibawa golongan baru adalah lebih mirip kepada fahaman
'Theocracy Barat' di mana yang bergelar ulama' (sebenarnya ustaz) perlu
diberikan jawatan dan kedudukan walaupun mereka sendiri tidak begitu
mahir dalam bidang yang ingin ditugaskan kepada mereka. Kononnya mereka
sebagai 'pewaris Nabi' disebabkan ada ijazah dari Azhar, atau
sebagainya, termasuk lulus 4 sanawi lebih layak walaupun jawatan yang
diinginkan lebih bersifat eksekutif atau perlaksanaan. Ianya
menyempitkan ruang keterlibatan semua pihak dan dengan sendirinya
cogan-kata "gandingan ulama' dan profesional" sudah lama tidak
kedengaran.
Setelah ahli biasa mula keliru berhubung konsep kepimpinan ulama', maka langkah kedua dilaksanakan.
LANGKAH KEDUA STRATEGI ’LANGGAR GOLONGAN PROFESIONAL’
Setelah menggelar diri mereka sebagai ulama' atau pembela kepimpinan
ulama', golongan baru memulakan serangan terhadap pimpinan lama,
khususnya yang terdiri dari golongan profesional yang pro-PR. Mereka
bergerak melalui saluran tertentu di dalam Parti, melabel pimpinan
sasaran mereka ini dengan label kononnya menentang ulama’, tidak wala’
pada Presiden, lebih wala’ pada PR/PKR, liberal, penaja projek langgar
Presiden dan sebagainya. Pimpinan sasaran mereka, adalah terdiri dari
golongan profesional yang kuat menyokong pendekatan tahaluf siyaasi dan
kerjasama melalui PR.
Hujjah mereka disebar luas melalui program tertutup dalam mana pemikiran
golongan muda diracuni untuk memusuhi pimpinan tertentu ini. Dengan
menggunakan emosi dan sentimen, harapan mereka adalah supaya pimpinan
sasaran mereka ditolak ahli PAS.
Pada masa yang sama, hubungan rapat antara profesional dan ulama’ juga
dirosakkan dengan dimasukkan jarum syak dikalangan ulama’ terhadap
profesional. Segala perbezaan pendapat yang merupakan suatu kebiasaan
tempoh hari, ditonjolkan sebagai tindakan biadap terhadap ulama’ dan
sebagainya. Mereka akan digambarkan sebagai lebih wala’ pada DSAI dari
TGHH sendiri. Sedangkan mereka adalah ahli PAS dan bukan ahli PKR!
Dengan itu, harapan golongan baru adalah golongan profesional yang
pro-tahaluf siyaasi bersama PR akan tersisih dari golongan ulama’ dan
ahli biasa dan tidak lagi serapat seperti dahulu.
LANGKAH KETIGA STRATEGI ’LANGGAR GOLONGAN PROFESIONAL’
Setelah langkah kedua mula berkesan,golongan baru ini akan mulakan langkah ketiga.
Langkah ketiga adalah menyerang rakan PAS dalam PR. Pada awalnya PKR dan
kemudiannya DAP juga. Peribadi Anwar Ibrahim turut menjadi sasaran
sehingga tidak dapat dibezakan serangan mereka dengan serangan UMNO/BN
terhadap beliau. Ketegangan antara parti PR adalah matlamat mereka dan
dengan penuh emosi dan sentiment mereka laungkan “PAS yang terkuat, kita
tidak perlukan PR, PAS dikudakan PR, tiada makna bersama PR” dan
sebagainya, kesemuanya sama seperti yang dilaungkan macai UMNO.
Keadaan menjadi begitu keliru sehingga seolah-olah kesanggupan menyerang
DSAI, PKR dan DAP menjadi bukti kesetiaan dan wala'nya seseorang kepada
Presiden dan parti. Yang tidak sanggup menyerang dilihat sebagai kurang
jelas fahaman mereka dan yang membela dan mempertahankan akan dilabel
tidak wala' atau lebih wala' pada PR dari PAS. Akhirnya PAS dilihat
lebih berlawanan dengan PKR dan DAP dari dengan UMNO/BN. Dan UMNO/BN
sekadar melihat dan mentertawakan.
Oleh kerana usaha mereka ditumpukan kepada menyerang pimpinan
Profesional pro-PR dan juga rakan-rakan dalam PR, golongan baru ini
langsung tidak berperanan dalam menyerang UMNO/BN. Malahan sikap mereka
terhadap UMNO/BN itu sendiri kelihatan lebih lunak dan mesra berbanding
terhadap pimpinan sasaran mereka dan rakan dalam PR. Tidak salah kalau
dikatakan bahawa sejak kemunculan golongan baru ini, UMNO/BN merasakan
jauh lebih selesa kerana kerja UMNO sedang dilakukan oleh golongan ini!
Berselindung di sebalik slogan ‘cintakan Presiden, cintakan ulama’ dan
sebagainya, mereka mengapi-apikan sentimen ahli untuk bersama mereka.
Sedangkan yang dibawa mereka bercanggah dengan apa yang telah dan sedang
diperjuangkan Presiden dan TGNA selama ini. Mereka membawa isu seperti
‘senario satu’, 'menjentik bukan Islam' dan ‘ketuanan Melayu’ yang
kesemuanya begituasing bagi PAS dan hasil pemikiran otak yang jauh
terpesong dan terkeluar dari PAS.
MATLAMAT DI SEBALIK STRATEGI ADU-DOMBA GOLONGAN BARU
Mereka begitu konsisten dengan usaha melaga-lagakan di antara pimpinan
dan juga antara PAS dan PR maka semestinya adanya matlamat tertentu yang
ingin dicapai. Melalui strategi yang tersusun sebegini akhirnya
kehendak mereka sebenar, iaitu untuk PAS tinggalkan PR, akan tercapai.
Tinggalkan PR, samada untuk PAS bersama dengan UMNO atau bersendirian,
itu belum jelas lagi. Dan semestinya, sekiranya bersama UMNO adalah apa
yang diinginkan, mereka sudah pasti tahu bahawa ianya tidak mudah
dilakukan dalam suasana sekarang. Oleh itu ianya akan dinafikan dan
dinafikan tetapi hakikatnya serangan terhadap UMNO/BN semakin tidak
kelihatan.
Namun yang jelas, yang diinginkan adalah supaya PAS tinggalkan PR dan
dengan itu, secara sedar atau tidak sedar, UMNO/BN akan kembali bernafas
lega. Igauan UMNO selama ini akan berakhir. Ini adalah kerana yang
mampu mengalahkan UMNO/BN setakat ini adalah hanya PR. Oleh itu sesiapa
sahaja yang berusaha menggagalkan PR sebenarnya membantu UMNO/BN.
Saya tidak tahu samada golongan baru ini sengaja ingin menggagalkan PR
atas sebab mereka disokong UMNO/BN atau mereka berpegang kepada fahaman
chauvanis-Islam seperti ISMA atau fahaman dan pendekatan yang seakannya.
INGATAN KEPADA SEMUA AHLI PAS
Saya mengingatkan ahli dan pimpinan supaya berwaspada dengan golongan
baru ini. Siapa mereka sebenar tidak diketahui. Satu ketika dahulu,
ahli-ahli PAS diberi amaran supaya awasi golongan ‘musta’jiluun’, iaitu
golongan gopoh yang ingin membawa perubahan melalui kekerasan. Ahli
diingatkan, mereka mungkin SB yang telah menyusup dalam PAS pada tahun
80an.
Hari ini saya juga ingin memberikan amaran, supaya ahli PAS supaya
berwaspada dengangolongan baru ini. Mereka juga mungkin SB atau
diperalat SB. Apa yang saya gambarkan di atas semua dapat lihat bahawa
ianya sememangnya sedang berlaku. Kalau golongan baru ini bukan SB
sekalipun, mereka paling kurang merupakan orang yang mahu merongkai
kembali segala yang telah dibina PAS selama ini.
Dengan itu akan hilang segala yang tercapai sekian lama, termasuk
kejayaan PAS menzahirkan corak politik Islam yang berprinsip, bersih,
adil dan bebas perkauman.
Mungkin tanggapan saya terhadap mereka sebagai SB dan sebagainya
tersilap, tetapi yang pasti mereka muka baru dengan sikap dan pendekatan
baru. Dan sikap dan pendekatan mereka adalah kontra sikap dan
pendekatan yang dibawa pimpinan lama. Sikap dan pendekatan mereka,
sepertimana yang dizahirkan melalui ‘senario satu’, ‘jentik bukan Islam’
dan ‘ketuanan Melayu’ lebih mirip kepada Islam-chauvanis yang dibawa
ISMA.
JEMPUTAN BERDEBAT/BERFORUM DENGAN GOLONGAN ADU-DOMBA
Untuk mengatasi masalah adu-domba melalui amalan label-melabel ini, saya
di sini mengesyorkan supaya diadakan satu forum/debat tertutup di
antara golongan yang digelar ‘profesional, erdogan, anwarinas’ dan
sebagainya dengan golongan yang kononnya menggelarkan diri mereka
sebagai penyokong ulama’ tersebut. Mari kita bertemu di medan perbahasan
ilmiah dan tidak lagi di medan FB dan Blog. Biar hujjah kedua-dua pihak
diuji kesahihan dan keabsahannya dimedan perbahasan secara bersemuka
supaya dengan itu akan berakhir segala amalan tuduh menuduh yang
merosakkan jemaah.
Melalui debat/forum ini akan kita nilai sejauh mana hujjah mereka tepat
dan benar atau hanya sekadar ingin membawa kearah perpecahan demi agenda
tersirat. Adakah mereka sanggup dan berani? InsyaAllah saya sanggup.
Saya mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana pihak sanggup
menganjurkannya, lebih-lebih lagi sekiranya di bawah naungan Dewan
Pemuda Pusat.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
http://www.kedahlanie.info
Kata syg pas...tp maklumat dlman dia yg bocor...kata syg pas..tp bila x setuju psl hudud heboh dlm internet...kata syg pas...tp ckp presiden dan msu sekdr pendapat peribadi...kata syg pas...tp lidah lbh panjang...kata syg pas..tp wala pd pkr. Cukuplah....take ur things n move bk to pkr. At least org respect skit. Jgn dok asyik jd duri dlm daging, gunting dlm lipatan, musang berbulu ayam, telur tembelang, jari kelingking berkait, parasit, baling batu sembunyi tgn, penconteng arang dimuka pas, talibarut, anai2, fifth column, talam dua muka dan seumpamanya.
ReplyDeleteanon, hang la blah.wala' kunun..
ReplyDelete