Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim tidak menolak kemungkinan membubarkan Dewan Undangan Negeri
(DUN) sebagai langkah menyelesaikan krisis kepimpinan yang melanda
negeri itu.
Bagaimanapun, beliau berkata segala keputusan akan diambil setelah beliau mendapat nasihat dan perkenan Sultan Selangor.
"Itu (semua keputusan termasuk bubar DUN) perlu dibincangkan dengan
Sultan terlebih dahulu," katanya kepada pemberita di majlis tahlil dan
doa selamat sempena ulang tahun ke-50 Perbadanan Kemajuan Negeri
Selangor (PKNS) di Masjid Negeri di Shah Alam malam ini.
Abdul Khalid enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau berbincang
dengan empat anggota exco kerajaan negeri daripada PAS untuk membubarkan
DUN pada November ini.
Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa
mendapat sokongan majoriti 30 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Pakatan Rakyat termasuk dirinya dan dua Adun PAS iaitu Saari Sungib
(Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib), untuk dilantik sebagai
menteri besar yang baru.
Dr Wan Azizah, yang juga ADUN Kajang, mendakwa 30 Adun termasuk Saari
dan Hasnul menyatakan hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid sebagai
menteri besar.
Kedudukan terkini DUN Selangor yang memiliki 56 kerusi ialah PAS dan DAP
masing-masing memiliki 15 kerusi, PKR (13), BN (12) dan Bebas (1).
- Bernama
No comments:
Post a Comment