Hamid atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman, 81, berkata, berkat amalannya itu sehingga kini dia tidak mempunyai sebarang penyakit kronik dan bersyukur diberi kesihatan baik oleh Tuhan.
"Sejak 40 tahun lalu saya tidak mengambil makanan laut dan jarang makan ayam dan daging. Jika ada pun pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti menghadiri kenduri dan Hari Raya.
"Minuman bergas dan berais juga saya elakkan. Saya berpantang dalam pemakanan kerana ingin mengelak daripada terkena penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.
"Alhamdulillah pada usia kini saya bebas daripada sebarang penyakit tetapi biasalah orang tua kadang-kadang sakit sendi dan pening," katanya kepada mStar Online.
Pak Hamid masih memandu pada usianya yang kini mencecah 81 tahun.
Hamid
ditemui pada majlis berbuka puasa Gabungan Persatuan Karyawan Filem
Malaysia (GAFIM) di Dataran Karyawan Finas dekat sini pada malam Selasa
lalu.
Tambah
Hamid atau lebih mesra dengan sapaan Pak Hamid, dia lebih gemar
menikmati makanan berasaskan ikan selain sup dan sayur-sayuran termasuk
mengamalkan meminum air suam sebagai diet hariannya.
Dalam
pada itu, Pak Hamid turut memberitahu, pada usianya sekarang dia masih
mampu memandu kereta untuk ke mana-mana termasuklah ke lokasi
penggambaran drama atau filem tanpa bantuan sesiapa.
Jelas Pak
Hamid, dia pernah memandu ke Perak dan Kedah seorang diri untuk ke
lokasi penggambaran kerana enggan menyusahkan sesiapa termasuk
anak-anaknya.
"Alhamdulillah
masih boleh memandu dan mata pun tiada masalah jika terpaksa bawa
kereta pada waktu malam, senang tidak payah menyusahkan sesiapa untuk ke
mana-mana.
"Memandu juga sebagai salah satu cara untuk kita kekal aktif dan sentiasa bergerak," jelasnya.
Pak Hamid masih menerima banyak tawaran berlakon.
Sementara itu, Pak Hamid berkata, dia bersyukur pada usianya sekarang
masih ada pengarah dan penerbit yang mempercayai bakat lakonannya dan
terus menawarkannya peranan dalam drama atau filem terbitan mereka.Jelas Pak Hamid, menerusi duit lakonan yang diperolehinya ia dapat digunakan untuk membeli ubat atau pun digunakan pada waktu-waktu kecemasan.
"Selagi kudrat terdaya saya akan terus berlakon seperti biasa dan Alhamdulillah tawaran itu sentiasa ada," katanya.
Pak Hamid pernah terkenal dengan filem Sikit Punya Gila pada tahun 1982 gandingan bersama Dharma Harun Al-Rashid dan Ragam Pemandu (1989) bersama Aznah Hamid.
Pada sekitar tahun 1970-an juga, dia pernah menerbitkan album sketsa lawak jenaka bersama rakan duetnya, Datuk Jamali Shadat dan menghasilkan beberapa buah album seperti Manaku Tada Mengaku, Dodol dan Ujian Memandu. - Mstar
No comments:
Post a Comment