PETALING JAYA: Peserta program Raja Lawak musim ke-3
(RL3) iaitu Amir masih belum menetapkan tarikh sebenar untuk
melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya yang dikenali sebagai Intan.
Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 26, bagaimanapun
berkata, mereka merancang untuk berkahwin pada tahun hadapan selepas
mengikat tali pertunangan dalam satu majlis yang diadakan dirumah pihak
perempuan di Sungai Besi, Kuala Lumpur Jumaat lalu.
"Alhamdulillah majlis tersebut berjalan dengan lancar dan kami akan bertunang selama setahun.
"Bagaimanapun masih belum ditetapkan tarikh sebenar kami akan bernikah
namun menjangkakan ia akan dilangsungkan lebih awal daripada tempoh
bertunang," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Sabtu.
Amir sebelum ini pernah membuat pengakuan hatinya sudah terbuka dan
berhasrat untuk berkahwin dengan kekasihnya selepas enam bulan
berkenalan.
Perasaan cinta tersebut berputik selepas dia melakukan solat sunat
istikharah bagi mengetahui sama ada wanita berkenaan sesuai untuknya
ataupun tidak.
Dalam pada itu, Amir berkata, mereka merancang majlis berkenaan sejak
sebulan lalu selepas hubungan tersebut mendapat restu keluarga kedua-dua
belah pihak.
"Majlis yang diadakan secara kecil-kecilan sahaja dan syukur semua yang
dirancang berjalan dengan baik. Paling penting ia mendapat restu
daripada kedua-dua keluarga," ujarnya.
Sementara itu, Amir berkata, Intan adalah pilihan tepat untuk dijadikan
isteri kerana wanita berkenaan sangat memahami dan sentiasa menyokongnya
dalam pelbagai perkara.
Jelas Amir lagi, Intan juga adalah orang yang bertanggungjawab
menyakinkannya untuk memulakan perniagaan dan sentiasa menyokongnya
sehingga usahanya membuahkan hasil.
"Selain itu Intan seorang yang sangat penyabar dan tidak pernah
mengongkong saya, itu adalah sikap dia yang paling saya kagumi,"
katanya.
Dalam perkembangan lain, Amir berkata, selain sibuk dengan aktiviti seni
dia kini semakin ligat mempromosikan sabun pencuci (detergen) yang
dijualnya sejak beberapa bulan lalu.
Orang ramai yang ingin mencuba sabun pencuci bagi menyokong perniagaan
Amir ini bolehlah menghubungi rakan kongsinya iaitu Azrai di talian
012-6991164. - Mstar
No comments:
Post a Comment