14 June 2014

Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga 1 Julai ini

KUALA LUMPUR - Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang menggantikan peperiksaan berpusat awam Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan bermula 1 Julai ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata ia dimulakan dengan instrumen kajian kes bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi pada 1 hingga 18 Julai, di mana murid-murid perlu menyiapkan kerja kursus berdasarkan tajuk yang diberi dalam tempoh berkenaan.


Ujian lisan meliputi kemahiran mendengar dan bertutur bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula akan diadakan pada 6 hingga 29 Ogos.

Seterusnya, murid-murid terlibat akan menduduki ujian bertulis pada 12 hingga 17 Oktober bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Iban.

"Bagi tahun pertama, kita sedar ada pihak yang belum faham dengan sistem ini. Kita nak masukkan kemahiran berfikir yang lebih tinggi selaras dengan perkembangan pendidikan di peringkat global.

"Sebab itu cara pelaksanaan di awal-awal ini agak berbeza tapi akan stabil beberapa tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Amal Bukit Damansara di Pusat Komuniti Bukit Damansara di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata menerusi PT3, pelajar terlibat akan dinilai mengikut Band iaitu Band Satu bagi pencapaian yang lemah sehingga Band Enam bagi pencapaian cemerlang.

Tahun 2014 merupakan tahun pertama pelaksanaan PT3 menggantikan peperiksaan PMR, selaras dengan pengenalan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menjurus kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik.

"Semua guru Tingkatan Tiga telah dilatih memandangkan kini mereka perlu mengajar secara berbeza. Kita harap semua pihak khususnya ibu bapa tidak ragu-ragu dan beri peluang untuk sistem ini dilaksanakan," kata Muhyiddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi peringkat permulaan, Lembaga Peperiksaan Malaysia akan membantu pihak sekolah mengolah soalan peperiksaan dan seterusnya sekolah boleh memilih daripada bank soalan yang disediakan itu bagi menyediakan kertas peperiksaan.

Bagi mengelakkan timbulnya isu sekolah-sekolah mengambil kesempatan menaikkan prestasi masing-masing, Muhyiddin berkata guru-guru dan pemeriksa dari sekolah lain akan diminta menilai keputusan PT3 sesebuah sekolah supaya dapat diselaraskan.

Dalam pada itu, timbalan perdana menteri sekali lagi menegaskan pelaksanaan PT3 adalah untuk melihat pencapaian pelajar sejak dari awal, dan membolehkan pelajar yang lemah dibantu untuk menjadi lebih cemerlang pada pentaksiran akhir.

"Ibu bapa juga boleh datang ke sekolah pada bila-bila masa untuk melihat pencapaian anak-anak," katanya.

Tambahnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Sarana PIBG telah dan akan terus memberi penjelasan kepada waris murid berhubung pelaksanaan PT3. - Bernama







Dengan frasarana guru yang masih tidak holistik?

No comments:

Post a Comment