03 June 2014

Menteri gesa guru kembali pada BN

Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keputusan untuk menyekat guru dari menyertai politik adalah satu kesilapan dan menggesa para penjawat awam tersebut kembali ke pangkuan BN.

“Mari bersama Umno, MIC, MCA  atau BN. Guru sebenarnya pengerak (dalam parti). Barangkali kita sudah buat kesilapan 10 hingga 12 tahun lepas, tidak benarkan guru memegang jawatan dalam politik.


“Maka guru terpaksa letak jawatan sebagai setiausaha cawangan bahagian, timbalan ketua bahagian, ketua bahagian dan seterusnya.

“Tetapi baru-baru ini kita telah benarkan guru aktif semula, jadi saya merayu kalau boleh guru kembali semula kepada kami, bantulah kami,” katanya dalam Majlis Penghargaan Guru di Kuala Lumpur, hari ini.

Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno dan BN, menghadiri majlis makan tengah hari bersama Yayasan Pendidikan Cheras selaku Menteri Wilayah Persekutuan.

Turut hadir dalam majlis itu, Ketua Bahagian Timbalan Menteri Pelajaran II P Kamalanathan dan ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, yang merupakan pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras.

Tengku Adnan juga berkata guru yang tidak menyertai politik boleh melemahkan BN kerana golongan itu sejak awal lagi merupakan penggerak parti.

“Barangkali itu juga yang melemahkan kita. Ia kerana kita tidak mempunyai penggerak di kalangan guru, guru besar dan pengetua,” katanya.

Sekatan penglibatan guru dalam politik ditarik balik pada tahun 2010, namun kakitangan awam lain masih dihalang bergiat aktif dalam dunia politik.

Tengku Adnan berkata demikian susulan kenyataan seorang guru yang ditegur oleh seorang pegawai khas di Kementerian Pendidikan kerana menyiarkan poster kempen DAP Dyana Sofya Mohd Daud di akaun Facebooknya.

Seorang pegawai Kementerian Pendidikan didakwa meminta guru tersebut menutup akaun Facebook berkenaan dan memberi amaran untuk terus mengawasi tindakan guru wanita berkenaan. - Malaysiakini

3 comments:

  1. Kembalikan dahulu fungsi asal guru.

    ReplyDelete
  2. perbaiki dan perbetulkan dahulu kelemahan dan keburukan parti.

    ReplyDelete
  3. TAK NAK UMNO!!!

    ReplyDelete