Saya terkejut dengan seorang penceramah agama yang dikenali mengulas
isu kenyataan al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai kesan DNA khinzir
dalam makanan dan bahan yang terdapat secara meluas di dunia hari ini.
Jika kita dengar ulasan penceramah tersebut seakan Dr Yusuf al-Qaradawi,
Majlis Fatwa Eropah yang terdiri dari ramai tokoh ilmuwan antarabangsa,
beberapa persidangan Fekah di peringkat antarabangsa dan lain-lain yang
mengharuskan itu tidak tahu bahawa babi itu haram.
Bagi menyokong
hujahnya, penceramah itu secara 'janggal' menyebut empat-empat mazhab
mengharamkan babi. Katanya pula, ulama hanya khilaf tentang kulit babi.
Saya ingin katakan, pertama, sesiapa yang ingin mengulas sesuatu
hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan tentang apa yang dia ulas. Jika
tidak ia hanya menampakkan kedangkalan diri dalam dunia ilmu yang luas.
Dr Yusuf al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah, Persidangan Fekah Perubatan
yang berlangsung di Morocco pada tahun 1997 dan lain-lain bukan tidak
tahu bahawa babi itu haram. Namun isu yang dibahaskan ialah istihalah
yang telah merubah sifat sesuatu bahan. Para ulama dalam pelbagai mazhab
Islam mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini.
Isunya, bukan
ingin makan seketul babi goreng ataupun sup babi, tetapi ingin memakan
coklat, ataupun biskut tapi terdapat kesan DNA babi disebabkan bahan
tertentu yang asal-usulnya babi namun telah berubah sifat kimianya.
Adapun kenyataan beliau bahawa mazhab empat mengharamkan khinzir
amatlah canggung. Beliau hendaklah tahu bahwa bukan setakat empat
mazhab, bahkan semua mazhab termasuk al-Auza'i, al-Thauri, Laith bin
Sa'd, Zahiri, Zaidi dan lain-lain semuanya mengharamkan khinzir. Ia
ijmak. Namun, bukan itu isunya. Apa yang dibincangkan isu istihalah.
Adapun kata beliau khilaf ulama hanya tentang kulit babi, sebenarnya
bukan sahaja tentang kulit babi, tapi juga tentang tulang dan bulu.
Apakah boleh dibuat sesuatu yang bermanfaat, seperti kasut ataupun bone
china seperti hari ini ataupun tidak boleh? Walaupun banyak imam yang
melarang perkara itu, tetapi ramai juga para imam yang membolehkan.
Contoh boleh lihat nukilan al-Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni yang
menyebut beberapa pendapat.
Jika kita semak pendapat yang membolehkan itu dipertahankan oleh beberapa tokoh ulama termasuk al-Imam al-Syaukani.
Sebenarnya, masalah istihalah babi ini masalah khilafiyyah. Ada yang
membolehkan seperti Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Persidangan Fekah
Perubatan di Morocco 1997 dan lain-lain. Ada pula yang mengharamkan
seperti Majma al-Fiqh al-Islami di Jeddah, Arab Saudi.
Bukan orang
Islam nak disuruh ternak babi, tapi sarjana fekah membincangkan bahan
yang berubah tapi asal-usulnya ada kaitan dengan babi.
Ini boleh
difahami juga seperti rakyat muslim Singapore yang meminum new water
iaitu air najis yang telah dirawat menjadi air bersih yang digunakan di
Singapore sekarang. Bukan mereka nak minum najis, tetapi air itu asal
bernajis namun telah dirawat dan dibersihkan.
Kita mengingatkan
semua pihak, termasuk diri kita bahawa berceramah satu kebolehan yang
lain, mungkin ia dibantu oleh kepetahan, jenaka dan lain-lain. Namun
hendak membincangkan isu ilmu hendaklah berasaskan maklumat dan
pengetahuan.
Sekali lagi, hal ini khilaf pendapat dalam kalangan
ulama. Setiap orang membaca, meneliti dan mengikut apa yang dia yakin
lebih diredhai Allah untuk dirinya. Fatwa ini dibincangkan oleh para
sarjana Islam moden sebab bahan berkena kepada banyak produk yang wujud
terutama mereka yang hidup di negara minoriti muslim. Sementara sifat
Islam itu memudahkan umatnya yang dalam kesulitan. Kita juga perlu ingat
hal ini berlaku apabila kita tidak menjadi pengeluar dan asyik jadi
pengguna. - Dr. Maza
Wah! Si Kazim dah layak jadi 'NC' Al Azhar.
ReplyDelete