30 June 2014

'Atas prinsip...saya letak jawatan'

SHAH ALAM - Kesal dengan tindakan Kementerian Pendidikan yang mengarahkan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) Prof. Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman supaya meletakkan jawatan, Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini memutuskan untuk melepaskan jawatannya.

Saifuddin berkata, tindakan tersebut dilakukan adalah sebagai tanda sokongannya terhadap Mohamad Redzuan, serta atas prinsip kebebasan akademik.

“Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman adalah Pengarah-Pengasas Umcedel dan Dekan Fakulti Sains Sosial UM.


“Oleh kerana arahan daripada pihak tertentu di Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini, beliau diarah meletak jawatan sebagai Pengarah Umcedel. Tapi beliau tidak menghebohkan cerita ini," ujar Saifuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

“Hari ini, beliau tidak disambung sebagai Dekan (walaupun dicalon oleh pensyarah FSSS). Saya tahu akan cerita ini sejak awal (melalui beliau dan Naib Canselor UM)...," kongsinya lagi di laman sosial Facebook miliknya.

Terdahulu memetik laporan sebuah portal, Mohammad Redzuan diarahkan meletakkan jawatan sebagai Pengarah Umcedel oleh Kementerian Pendidikan atas ‘campur tangan politik’.

Menurut laporan itu lagi, walaupun Mohammad Redzuan disokong oleh rakan akademiknya untuk terus menjadi dekan, tekanan politik menyebabkan universiti tidak meneruskan khidmatnya.

Kajian Umcedel yang kerap kali ‘memihak’ kepada Pakatan Rakyat dianggap sebagai antara punca Mohammad Redzuan dipaksa melepaskan jawatannya.

Antara hasil kajiannya ialah sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih besar berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelang PRU13.

Hasil kajian itu terbukti benar apabila PR mendapat lebih undi popular berbanding Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 lalu.

Menurut laman sesawang UM, Mohammad Redzuan berkhidmat sebagai Pengarah Umcedel dari 26 Febuari 2012 hingga 31 Disember 2014. - SH

No comments:

Post a Comment