BERA - Belum reda kesedihan berikutan kehilangan anaknya, Mohd Khairul
Amri dalam tragedi MH370, Selamat Omar, sekali lagi diuji apabila
rumahnya di Felda Bukit Mendi, di sini dipecah masuk dua lelaki
bersenjatakan parang awal pagi semalam.
Bagaimanapun ketika kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, Selamat, 60,
tidak ada di rumah kerana menginap di sebuah hotel ibu negara bagi
menunggu perkembangan misi mencari pesawat itu yang hilang sejak 8 Mac
lepas.
Hanya isterinya, Rosila Abu Samah, 50, dan anaknya, Kaiyisah Adibah, 8,
yang baru pulang dari ibu negara petang Ahad lepas berada di rumah
ketika kejadian.
Menurut Rosila, dia tersedar dari tidur apabila lampu bilik terpasang,
dan terkejut bila melihat dua orang bertopeng berada di hadapannya.
“Salah seorang mengacukan parang ke arah saya menyuruh saya supaya senyap, dan meminta memberikan gelang dan anting-anting.
“Sementara seorang lagi menyelongkar almari baju untuk mencari barang berharga,” katanya kepada Sinar Harian.
Rosila berkata, kedua-dua penjenayah itu yang memecah masuk melalui
tingkap biliknya itu menggeledah rumahnya hampir setengah jam dan turut
melarikan beg tangannya yang mengandungi kad pengenalan dan kad bank.
"Saya merayu supaya mereka tidak ambil pasport kami kerana bimbang akan
menyukarkan urusan ke luar negara sekiranya terdapat sebarang
perkembangan mengenai pesawat yang hilang itu di Perth, Australia.
Katanya, mereka turut mengambil beberapa kad bank, kad pengenalan dan
dua telefon bimbit tetapi memulangkan kad Maybank, lesen memandu dan
pasport.
“Selepas mereka ambil semua barang, saya ada dengar salah seorang
menelefon rakan lain memberitahu untuk jumpa di tempat biasa. Dan mereka
keluar ikut pintu utama, tetapi tidak langsung dengar bunyi motosikal
atau kereta,” katanya.
Rosila memberitahu, dia bergegas ke rumah jiran untuk memaklumkan
berhubung kejadian itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Mengkuang.
Difahamkan, Rosila sudah menghubungi suaminya (Selamat) untuk
memberitahu perkara ini, dan dia agak terkejut mendengar apa yang
berlaku serta memaklumkan akan pulang ke Bera hari ini selepas urusan di
Putrajaya selesai.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani
mengesahkan kejadian tersebut dan kes sedang disiasat manakala pihak
polis sedang memburu penjenayah itu. - SH
No comments:
Post a Comment