23 April 2014

Belanja RM10 juta, usaha terbaru selesai isu air

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor sedia menghentikan catuan air yang dilaksana sejak Mac apabila paras air di Empangan Sungai Selangor meningkat ke 42 peratus, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.
  
Beliau berkata setakat pukul 8 pagi ini, paras air di empangan itu masih berada di bawah paras kritikal iaitu 38.97 peratus dengan jumlah takungan 89.63 juta liter padu.
  
Katanya, walaupun empangan lain terus menunjukkan peningkatan melebihi paras 50 peratus namun empangan ini hanya membekalkan sebahagian kecil air kepada pengguna.
  
Empangan Sungai Selangor membekalkan kira-kira 60 peratus keperluan pengguna di Lembah Klang.   

"Seperti yang diumumkan semalam kerajaan negeri telah mengenal pasti usaha untuk menambah bekalan air mentah dan jika hasilnya positif, kita bersedia untuk mengkaji semula pelan catuan air," kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini.
  
Sehubungan itu, beliau berkata exco negeri hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk membina infrastruktur bagi kerja-kerja mengepam air dari kolam bekas lombong sekitar Lembangan Sungai Selangor ke Sungai Selangor.
  
Katanya, sembilan buah pam berkeupayaan tinggi akan disediakan bagi mempastikan kerja-kerja pengepaman memberi kesan maksimum dan mampu meningkatkan paras air di Sungai Selangor.
  
Beliau berkata infrastruktur ini juga akan digunakan bagi mengepam air Sungai Selangor ke kolam takungan apabila paras air sungai mencapai paras normal.
  
Ini sebagai persediaan menghadapi musim kering berlanjutan yang diramal akan berlaku antara Mei sehingga September ini, kata beliau.
  
"Kerja mengepam itu telah dimulakan sejak tiga hari lalu, melibatkan sembilan daripada lebih 26 bekas lombong bijih timah yang ada di negeri ini," kata Abdul Khalid.
  
Menurutnya, pam berkapasiti tinggi itu mampu mengepam air sebanyak 50 juta liter sehari.
  
"Jadi pengguna tidak perlu bimbang bila tiba musim kering nanti kerana kita sudah ada perancangan untuk enam bulan seterusnya. - SH

No comments:

Post a Comment