09 March 2014

Tentera ketuai SAR, carian termasuk Selat Melaka


KUALA LUMPUR - Buat pertama kali sidang media mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal pagi "dikemudi" Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kehadiran Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud di majlis itu merupakan testimoni bahawa ATM mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu.

Malah Zulkifeli berkata kawasan pencarian diperluaskan ke kawasan Barat Laut semenanjung, perairan Selat Melaka, membabitkan 40 kapal laut dan 22 pesawat daripada ATM dan pasukan tentera luar negara iaitu China, Amerika Syarikat, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan operasi SAR pesawat itu diperluaskan sehingga ke sempadan Vietnam berikutan tiada penemuan pesawat itu di kawasan 120 batu nautika timur Kota Baharu perairan negara.

Pesawat Boeing 777-200 itu dilapor hilang daripada radar, kira-kira dua jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi menuju ke Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi semalam.

Sehingga kini tidak diketahui nasib pesawat itu, yang membawa 227 penumpang dari 14 negara termasuk 38 rakyat Malaysia selain 12 anak kapal.
Insiden pesawat yang dilaporkan hilang itu menjadi lebih menarik apabila Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Datuk Azaharuddin Abdul Rahman mengesahkan dua penumpang pesawat itu menggunakan pasport palsu sewaktu menaiki pesawat.

Susulan itu, Pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia telah memaklumkan kepada agensi-agensi anti-pengganas di beberapa negara mengenai dua penumpang terbabit.

Malah menurut laporan media, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat akan menghantar satu pasukan terdiri daripada ejen dan pakar teknikal bagi membantu siasatan kehilangan pesawat MH370 disebabkan tiga daripada penumpang merupakan rakyat Amerika.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata MAS yakin dengan kemampuan pesawat miliknya dan tiada perancangan untuk menggantung perkhidmatan pesawat itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment