09 March 2014

Spekulasi hanya lambatkan usaha mencari


SEPANG - Sikap tidak bertanggungjawab pihak yang suka menimbulkan spekulasi, menyukarkan dan melengahkan lagi usaha pasukan penyelamat menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat, kata Pengarah Cawangan Mencari dan Menyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Maritim Muhammad Basar Taji.

Beliau berkata, ini kerana berita-berita yang tidak sahih itu mengganggu pasukan itu menjalankan tugas selain memberi kesan negatif terhadap saudara-mara mereka yang terlibat.
"Spekulasi-spekulasi ini juga memberi kesan negatif kepada usaha-usaha pasukan mencari dan menyelamat kerana berita-berita seperti itu hanya akan melengahkan lagi usaha mereka, menyebabkan tekanan, dan mengganggu perhatian mereka," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Sebelum itu, beliau turut sama menunaikan solat Zohor dan solat Hajat secara berjemaah bersama-sama bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini.
Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat sedang berusaha sepenuh masa dan tenaga untuk mencari pesawat MH370.

Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu dilaporkan hilang daripada radar pada pukul 1.30 pagi semalam, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.
Pesawat itu membawa penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia.   

"Sepanjang malam tadi kita masih meneruskan operasi dan setakat ini masih belum dapat dikesan. Dan pagi ini, mereka memutuskan untuk memperbesarkan lagi kawasan carian atas faktor-faktor angin dan arus," kata Muhammad Basar.
Beliau berkata, langkah terbaik sekarang ialah menyerahkan usaha-usaha mencari dan menyelamat ini kepada mereka yang pakar dan berpengalaman.
Katanya, rakyat perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak-pihak berkenaan yang lebih berpengalaman dan profesional.
Muhammad Basar berkata pasukan penyelamat sama sekali tidak melengah-lengahkan usaha mereka kerana beliau bersama-sama dengan mereka semalam dan melihat sendiri kesungguhan mereka. - Bernama

No comments:

Post a Comment