11 March 2014

Peniaga lihat pesawat terbang rendah


Pasir Puteh: Seorang peniaga mendakwa turut melihat sebuah pesawat terbang rendah di Kampung Kadok, Ketereh, dekat sini, seperti dua nelayan yang dipercayai menyaksikannya berhampiran Kuala Besar, Kota Bharu.

Alif Fathi Abdul Hadi, 29, mendakwa melihat cahaya putih lampu dipercayai milik pesawat yang kelihatan menjunam ke Laut China Selatan berdekatan Bachok, jam 1.45 pagi Sabtu lalu.

Berikutan itu, beliau tampil membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, di sini, jam 11.30 pagi semalam.

“Ketika berada di pekarangan rumah di Kampung Kadok, saya nampak cahaya putih dipercayai lampu pesawat dalam kira-kira lima minit. Sinaran lampu itu kelihatan pelik kerana biasanya saya nampak pesawat di rumah dari arah lain tetapi kali ini dari arah bertentangan.

“Walaupun pelik, saya tidak berfikir apa-apa dan terus masuk tidur,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di pejabat APMM Tok Bali, di sini.

Kelmarin, dua nelayan membuat laporan polis selepas mendakwa melihat sebuah pesawat terbang rendah, kira-kira lapan batu nautika dari Pantai Kuala Besar, Kota Bharu, jam 1.30 pagi Sabtu lalu.

Jarak antara Kuala Besar dan Ketereh ialah kira-kira 30 kilometer.
Terkejut dengar berita

Alif Fathi mengakui terkejut mendengar berita kehilangan pesawat MH370 selepas bangun tidur sebelum mengandaikan apa yang dilihat sebelumnya ada kaitan. - BHarian

No comments:

Post a Comment