07 March 2014

Najib turut terjejas jika Anwar didapati bersalah


Karier politik  Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin terjejas jika beliau didapati bersalah berikutan kes liwatnya namun ia juga boleh membatalkan pelan rekonsiliasi nasional yang dianjurkan oleh perdana menteri, lapor The Edge Review hari ini.

Penyabitan Anwar akan menyebabkan tamatnya pelan yang bertujuan untuk meredakan ketegangan politik, kaum dan agama dan juga bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Seorang pemimpin Umno berkata, perbincangan Najib dengan pembangkang untuk melaksanakan pelan ini tidak disenangi oleh pemimpin parti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan menjadi ketua perunding beliau dengan pemimpin pembangkang sejak pertengahan 2013 dan perbincangan dikatakan berjalan lancar.
Bagaimanapun, kumpulan dalam Umno yang menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menentang perbincangan itu.

"Jika Anwar dijatuhkan hukuman, sebarang pelan rekonsiliasi boleh dicampak keluar. Najib tidak akan ada lagi rundingan perpaduan sebagai jaminan politik," kata seorang pemimpin kanan PKR.
Mahkamah Rayuan dijangka membuat keputusan terhadap rayuan Putrajaya untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau daripada dakwaan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan, hari ini.

Peguam dan pemimpin pembangkang menjangkakan hukuman bersalah untuk Anwar, lapor The Edge Review hari ini.
Keputusan ini secara automatik akan menafikan hak Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang hujung bulan ini.
PKR mencipta pelan untuk membolehkan Anwar dilantik sebagai menteri besar Selangor melalui PRK ini yang dijangka beliau akan menang dengan majoriti besar.

The Edge Review melaporkan bahawa Putrajaya dijangka ‘menyegerakan kes’ itu ke Mahkamah Persekutuan dalam tempoh enam bulan akan datang, untuk sabitan lebih kukuh yang boleh menyebabkan Anwar menghabiskan tidak lebih 20 tahun di penjara.

“Tidak dinafikan bahawa kes itu membawa implikasi serius daripada langkah Kajang kepada bagaimana pembangkang akan digerakkan ke depan,” kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.
Awal hari ini dilaporkan, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang juga arkitel ‘Langkah Kajang’ – mungkin menjadi pilihan untuk menggantikan Anwar jika beliau hilang kelayakan bertanding di Kajang.

Bagaimanapun, Anwar dilaporkan yakin mahkamah akan mengeluaran keputusan yang berpihak kepadanya.
“Mereka melakukan segalanya kepada saya dan tiada yang berkesan, kerana apa yang rakyat Malaysia perjuangkan bukan mengenai saya semata-mata, tetapi apa yang salah dengan sistem. Ia makan diri sebelum ini dan perkara sama akan berlaku lagi,” kata ketua umum PKR itu kepada The Edge Review.

Beliau merujuk kepada hukuman penjara enam tahun yang dikenakan kepadanya atas dakwaan liwat. Keputusan liwat itu sebahagiannya dibatalkan pada 2004, menyebabkan Anwar dibebaskan daripada penjara. Pada 2008, Anwar kembali ke arena politik selepas hanya melihat dari luar untuk lima tahun.

Pada pilihan raya umum tahun itu, Anwar mengetuai gabungan pembangkang PKR, DAP dan PAS kepada kemenangan besar bagi pembangkang dalam sejarah Malaysia. Gabungan pemerintah Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiganya di Parlimen dan lima negeri jatuh kepada pembangkang, termasuk Selangor.

Kemenangan BN tidak meningkat lima tahun kemudian dalam PRU13 di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila menyaksikan BN hilang undi popular, memperolehi 47% berbanding pembangkang sebanyak 51%.
Kepimpinan Najib disalahkan atas kekurangan sokongan daripada ahli parti sendiri dalam BN.

“Peningkatan kos sara hidup adalah kunci utama dan akar umbi berpendapat Najib dan kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk menangani kesakitan itu,” The Edge Review memetik kenyataan seorang veteran Umno yang juga bekas menteri.
Usaha kerajaan untuk mendiamkan Anwar dengan sabitan kes liwat mungkin boleh menikam mereka semula, kata penganalisis politik.

“Pemenjaraan Anwar akan dilihat sebagai gerakan politik, dan dalam situasi ini, kerajaan akan terkena kesan terhadap populariti yang berlaku,” kata Ibrahim Suffian daripada Merdeka Centre.
Kebebasan badan kehakiman negara daripada politik juga akan diteliti, kata seorang peguam.

“Saga berterusan antara kerajaan dengan Anwar selalu membabitkan mahkamah. Ini tidak akan berkesudahan selagi Malaysia tidak belajar bahawa masalah politik perlu diselesaikan menerusi sistem politik,” kata seorang peguam perlembagaan kanan kepada The Edge Review. – 7 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment