15 March 2014

Laporan: Pesawat disahkan dirampas


Pesawat Malaysia Airlines MH370 telah dirampas, demikian menurut satu aporan berita.

Menurut AP, seorang pegawai kerajaan Malaysia berkata rampasan itu bukan hanya lagi satu teori tetapi ia adalah 'konklusif'.

Pegawai tersebut, yang terlibat dalam penyiasatan itu, berkata mereka telah menentukan bahawa salah seorang juruterbang atau orang lain yang mempunyai pengalaman terbang, telah merampas pesawat itu.

Bagaimanapun, motifnya belum diketahui dan juga tidak jelas ke mana pesawat itu berada.

Spekulasi bertiup kencang bahawa kerajaan Malaysia akan mengumumkan perkara itu dalam sidang akhbar pada tengahari.

LAPORAN LANGSUNG

1.55pm: Seorang pegawai Jabatan Penerangan Jagjit Singh mengumumkan PM hanya akan membuat satu kenyataan berhubung perkembangan terbaru.

"Namun beliau tidak akan menjawab apa-apa soalan," katanya.

Beliau meminta para wartawan mengemukakan soalan kepada pusat media.

Soalan berkenaan akan dijawab dalam sidang media harian jam 5.30pm, katanya yang tidak memberikan sebarang alasan.

1.41pm: Wartawan semakin gelisah menunggu PM memulakan sidang media dan mengisi masa dengan berbual-bual dan bertukar maklumat sesama sendiri.

Suasana dalam dewan tersebut kembali senyap beberapa kali apabila pintu utama auditorium dibuka. Namun masih belum ada kelibat Najib.

1.30pm: Duta China ke Malaysia Huang Hui Kang turut hadir dalam sidang media hari ini. Turut kelihatan wakil kedutaan Rusia.

1.10pm: Wartawan memasuki dewan sidang media dan membuat persedian untuk persidangan.

Kira-kira 200 orang para petugas berkenaan memenuhi hampir setiap inci ruang lantai auditorium Sama-Sama Hotel.

12.33pm: PM Datuk Seri Najib Razak dijangka mengadakan sidang media pada jam 1.30pm di Hotel Sama-Sama, KLIA.

Pasukan keselamatan membuat pemeriksaaan ketat di bilik sidang media dan para petugas media diminta beredar sehingga operasi tersebut selesai. - Mkini

No comments:

Post a Comment