09 March 2014

Keluarga bos Kumpulan Modal Perdana antara dalam MH370


Isteri dan anak pengerusi Kumpulan Modal Perdana Datuk Mohamed Ramli Abbas merupakan antara 239 penumpang yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal semalam.Adik ipar Mohamed Ramli, Salmy Hashim berkata isteri bekas Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Datin Biby Nazli Mohd Hassim bersama dua anak perempuan mereka Maria dan Dina telah menaiki pesawat itu untuk bercuti ke Beijing.

Salmy yang merupakan pemberita sambilan Bernama di Washington, Amerika Syarikat memberitahu BernamaTV, turut serta bersama Biby dan keluarganya dalam penerbangan itu adalah kakaknya Noorida.

Salmy berkata beliau tidak menyangka perbualan menerusi laman sosial Skype bersama dua kakak dan dua anak buahnya minggu lepas merupakan detik terakhir mereka berhubung sebelum dilaporkan hilang.

Beliau ketika dihubungi tidak dapat menahan sebak berikutan insiden yang menimpa keluarganya dan berkata: "Saya dapat tahu tentang kejadian ini malam tadi (waktu tempatan) bila anak saudara saya memanggil saya."

"Mak dia iaitu kakak saya, dengan dua orang anak dan kakak lagi seorang dalam pesawat. Jadi saya cuma tahu melalui telefon," kata Salmy yang merupakan anak ke enam daripada sembilan beradik.

Salmy turut berharap agar pesawat itu ditemui dan kesemua penumpang berada dalam keadaan selamat.

Pesawat MH370 itu hilang daripada radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi tadi menuju ke Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi waktu tempatan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment