09 March 2014

Identiti dua penumpang MH370 dengan pasport curi sudah dikenalpasti


KUALA LUMPUR: Identiti dua individu yang didakwa menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dengan pasport curi telah dikenalpasti dan dihantar kepada agensi risikan Malaysia dan antarabangsa tetapi tumpuan utama masih diberi kepada pencarian pesawat malang itu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pihaknya mempunyai rakaman CCTV yang memaparkan dua individu tersebut.

Walaubagaimanapun, beliau berkata kewarganegaraan kedua individu tersebut tidak dapat didedahkan kepada umum.

“Saya tidak mahu mendedahkan apa-apa maklumat yang boleh menjejaskan siasatan seperti ini kerana ia melibatkan ancaman keselamatan.

“Tunggu sehingga maklumat lanjut boleh didedahkan tetapi tumpuan kami adalah untuk mencari pesawat,” katanya semasa satu sidang media di Hotel Sama-Sama, KLIA.

Sebelum ini, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan hanya dua pasport dicuri yang digunakan penumpang MH370 bukan empat seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, pengesahan dibuat berdasarkan rekod rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan pemeriksaan balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, Hishammuddin berkata laporan bahawa beberapa serpihan pesawat yang ditemui di luar pantai Timur Barat Malaysia masih tidak disahkan lagi.

“Saya tiada maklumat terkini tentang serpihan itu. Peganglah pada apa yang kita maklumkan secara rasmi,” katanya.

Ia dilaporkan bahawa pegawai kanan Pentadbiran Penerbangan Awam China, Li Jiaxiang berkata, serpihan terbabit ditemui di kawasan longitud 103.29 darjah timur dan latitud 6.42 darjah utara.

Satu lagi laporan menyebut bahawa serpihan itu konsisten dengan satu gambar serpihan yang diambil oleh seorang penumpang yang menaiki sebuah lagi pesawat Malaysia Airlines dari Beijing ke Kuala Lumpur, yang telah mendarat pada pagi Ahad.

Gambar-gambar tersebut dikatakan sebagai imej serpihan yang terapung di permukaan laut, selepas 90 minit perjalanan dari Kuala Lumpur. - Astro

No comments:

Post a Comment