23 February 2014

Warga emas cedera disamun suami isteri


BESUT - Seorang wanita warga emas 54 tahun dan cucu lelakinya berumur 10 tahun cedera dipukul dengan kayu oleh kenalan lamanya yang menyamun mereka di Taman Haji Hassan, Kampung Alor Lintah dekat sini Jumaat lalu.

Mangsa yang tinggal bersama cucu lelakinya itu terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Besut dan menerima lapan jahitan di kepala manakala cucunya hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, dalam kejadian itu mangsa didatangi kedua-dua suspek suami isteri berumur 27 dan 20 tahun yang juga jiran lamanya ketika beliau dan cucunya hendak masuk tidur pada 11.45 malam.

Katanya, tanpa mengesyaki sebarang niat tidak baik, mangsa kemudiannya menjemput kedua-dua suspek masuk ke dalam rumahnya sebelum beliau meminta izin untuk ke bilik air.

“Sebaik sahaja mangsa keluar dari bilik air, suspek yang dikenalinya itu menyerangnya menggunakan sebatang kayu manakala suspek wanita itu merampas gelang bernilai RM1,000 dari tangan mangsa sebelum melarikan diri, katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment