25 February 2014

Wanita terima 28 jahitan diserang anjing jiran


GEORGETOWN - Seorang wanita menerima 28 jahitan akibat kecederaan di kepala, paha dan lengan selepas diserang anjing peliharaan jirannya di Solok Bukit Jambul di sini semalam.

Badriah Hanani Abu Bakar, 53, diterkam anjing dipercayai jenis German Shepherd ketika berbual dengan seorang jiran di depan rumah mereka pada 8.15 pagi.

Suhaimi Ismail, 59, berkata serangan anjing yang bersaiz agak besar itu menyebabkan isterinya terjatuh dan terpaksa menerima 13 jahitan di kepala akibat terhentak di atas jalan.

"Isteri saya juga menerima 12 jahitan di lengan kiri dan tiga di paha kanan dan dia masih dirawat di sebuah hospital di Bayan Baru," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata laporan berhubung kejadian itu dibuat di Balai Polis Sungai Nibong dan perkara berkenaan turut diadukan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serta Jabatan Veterinar petang semalam untuk tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, dalam kenyataan ringkas di sini, mengesahkan polis menerima laporan berhubung kes itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment