25 February 2014

Spekulator hartanah ditegur


KUALA LUMPUR 24 Feb. - Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) menegur tindakan spekulator hartanah atau mana-mana kelab pelabur hartanah yang masih melakukan kegiatan membeli kediaman baharu secara pukal sehingga menafikan hak rakyat untuk memiliki kediaman.

Presidennya, Siva Shanker berkata, pihaknya sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan spekulator hartanah tersebut yang dianggap mementingkan diri sendiri hingga tindakan itu memperlahankan industri hartanah yang mula lembab pada tahun lalu.

Beliau berkata, ada juga spekulator yang bertindak membeli kediaman sebelum pelancaran, sekali gus menyebabkan peningkatan harga sehingga 30 peratus pada hari pelancaran.

“MIEA mengutuk tindakan spekulator hartanah yang menganggap mereka adalah raja untuk memiliki hartanah sebagai pelaburan,’’ katanya pada pemberita selepas membentangkan unjuran pasaran hartanah 2014 di sini hari ini.

Menurut beliau, tindakan spekulator itu hanya menyebabkan rakyat tidak mampu untuk membeli kediaman ataupun terpaksa membeli dengan harga yang lebih tinggi.

Ketika ditanya cadangan penyelesaian mengenai masalah ini, Siva berkata, kerajaan perlu berbincang dengan pemain-pemain industri termasuk pemaju perumahan mengenai masalah pembelian kediaman secara pukal.
Perbincangan itu katanya, dapat menentukan hala tuju dan satu garis panduan yang tepat bagi memastikan hartanah di negara ini tidak menjadi mangsa spekulasi.

“Sebarang pembentukan garis panduan perlu melibatkan pandangan pemain-pemain industri kerana industri merupakan pihak yang terlibat secara langsung dalam permasalahan ini,’’ ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment