21 February 2014

PRK Kajang: Calon BN akui lawan ‘pemimpin dunia’ bukan mudah


Barisan Nasional (BN) akhirnya mengumumkan calon mereka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang apabila parti itu meletakkan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun (gambar) untuk bertanding menentang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chew, dalam kenyataannya, berkata, menentang "pemimpin bertaraf dunia" seperti Anwar tidak menjanjikan laluan mudah baginya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.
"Saya sedar bahawa, pilihan raya kecil kali ini merupakan satu cabaran yang amat besar kepada saya kerana saya terpaksa berdepan dengan seorang pemimpin yang dilabelkan oleh partinya sebagai 'bertaraf dunia'," katanya.

Beliau turut berkata, demi menegakkan demokrasi serta hak rakyat, beliau terpaksa bertanding untuk mengelakkan Pakatan Rakyat (PR) terus mempersendakan sistem demokrasi di negara ini.
"Kita sedar bahawa pilihan raya kecil ini yang diadakan secara sengaja oleh PKR bagi menyelesaikan masalah dalaman parti mereka dan untuk membolehkan Anwar menjadi menteri besar.

"Mereka telah mempersendakan dan memanipulasikan sistem demokrasi dengan tangan mereka sendiri.
"Bagi menegakkan dan menghormati semangat demokrasi, dan mempertahankan prinsip demokrasi serta hak rakyat, maka saya rasa terpanggil untuk memikul amanah dan menggalas tanggungjawab di PRK Kajang ini," katanya.

Chew berkata, BN akan tetap berdepan cabaran kali ini, supaya memberi peluang kepada rakyat untuk mempertahankan semangat demokrasi.
"Kita tidak mahu melihat mana-mana pihak yang berniat untuk memanipulasikan prinsip demokrasi kita secara sewenang-wenangnya," katanya.

Apabila rakyat Selangor, khususnya pengundi DUN Kajang memilih MCA, Chew berkata, beliau akan menjadi imbangan seperti perkembangan budaya politik sihat yang dilaungkan PR.
"Perkembangan budaya politik yang lebih sihat dalam sistem dua-parti, pilihan raya kecil ini merupakan satu peluang bagi pengundi-pengundi Kajang untuk memilih seorang Adun pembangkang MCA ke dalam DUN, supaya parti pembangkang Selangor, iaitu BN, dapat menyatu-padukan kekuatan dan kita dapat mendengar suara segenap lapisan masyarakat di dalam DUN," katanya.

Bekas ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, beliau memohon restu dan sokongan pengundi-pengundi Kajang untuk memilih beliau sebagai Adun Kajang.
"Ia akan dapat memperkuatkan lagi parti pembangkang dalam peranan kami sebagai 'check and balance' kepada kerajaan PR Selangor.
"Sekiranya ditakdirkan kemenangan, ini bukan anugerah kepada semata-matanya Chew Mei Fun sebagai seorang individu yang masuk ke DUN.

"Tetapi melambangkan DUN dapat menghala ke arah sistem dua-parti yang lebih sihat dan ke arah yang lebih bersesuaian dengan ciri-ciri kepelbagaian negara kita," kata Chew.
Beliau turut berikrar akan terus menjadi seorang wakil rakyat yang mudah didampingi dan dihubungi oleh rakyat, yang benar-benar membantu rakyat.

"Ini adalah janji saya kepada pengundi Kajang. Jikalau saya menjadi calon pilihan pengundi Kajang, maka saya akan menggalas dan memikul tanggungjawab itu sendiri kepada pengundi, dan bukannya pembantu atau setiausaha saya.

"Saya menyeru kepada anda semua supaya memberi satu peluang kepada saya, untuk berkerja untuk anda," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 23 Mac depan sebagai tarikh pengundian untuk PRK Kajang. – 21 Februari, 2014.

No comments:

Post a Comment