11 February 2014

Menjelang demonstrasi guru, Muhyiddin umum sistem penilaian pelajar dikaji semula


Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sekali lagi "flip-flop" apabila Kementerian Pendidikan memutuskan untuk mengkaji semula Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara menyeluruh hari ini seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran mengumumkan perkara itu pada selepas mendapat reaksi buruk dari golongan guru yang mengancam untuk mengadakan demonstrasi hujung bulan ini.

Katanya keputusan itu adalah bagi menangani segala permasalahan yang dibangkitkan guru berkaitan PBS.
"Sebelum ini, guru mengadu mengalami masalah untuk memasukkan data berkaitan pelajar ke dalam sistem berkomputer PBS.

"Sehubungan itu kita menangguhkan pelaksanaan aspek itu sehingga April tahun ini.
"Hari ini kita buat keputusan untuk kaji semula pelaksanaan PBS secara menyeluruh," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mengadakan perbincangan lebih sejam dengan guru SMK Presint 8(1) bagi mendengar sendiri permasalahan mereka.
Kumpulan pendesak guru merancang untuk mengadakan bantahan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 22 Februari bagi mendesak Putrajaya menghentikan program penilaian tiga tahun pelajar.

Bantahan yang jarang diadakan dari bidang perguruan itu menunjukkan rasa tidak puas hati warga pendidik yang semakin tinggi terhadap sistem PBS, kata jurucakap Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

Himpunan ini dirancang juga biar pun berulang kali jaminan diberikan Putrajaya bahawa PBS satu keperluan kepada pembaharuan sistem pendidikan kebangsaan dan penambahbaikan kepada sistem akan diselesaikan April ini.

Ketua kumpulan kerja SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata bantahan #himpunan222kpmputrajaya akan diadakan pada 22 Februari di hadapan KPM di Putrajaya.

"Kami mengadakannya pada Sabtu bagi memberi lebih banyak guru peluang menyertainya dan tidak lupa menjalankan tanggungjawab ini," katanya yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Pahang. – 11 Februari, 2014.

No comments:

Post a Comment