24 February 2014

MB salahkan SYABAS isu air


Kerajaan Selangor akan mengurangkan pelepasan air mentah ke empat loji bermula esok dan ini akan menyebabkan berlaku penjadualan pengagihan air kepada pengguna di beberapa kawasan di Lembah Klang.

Pengurangan pelepasan air mentah daripada Empangan Sungai Selangor ini melibatkan Loji Sungai Rasa, Loji Sungai Selangor 1, 2, 3 dan ini akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna yang menerima bekalan air daripada loji-loji berkenaan.

Pengurangan ini akan dilaksanakan dalam empat peringkat iaitu peringkat pertama melibatkan pengurangan sebanyak 7 peratus peratus, kedua (10 peratus), ketiga (15 peratus), dan keempat (20 peratus).

Langkah ini terpaksa dilakukan bagi memastikan simpanan air empangan mampu bertahan sehingga akhir bulan Mac 2014.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan bahawa bekalan air mentah di negeri Selangor dalam keadaan kritikal sehingga menyebabkan paras air di beberapa empangan menyusut dan mencapai paras berjaga-jaga.

Penjadualan pengagihan air ini sepatutnya dilaksanakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) selaku pemegang konsesi air pada minggu lalu menerusi Pelan Tindakan Kecemasan supaya pengguna boleh membuat persiapan awal.

Pembenihan awan diteruskan

Namun, SYABAS sehingga kini gagal mengemukakan pembentangan pelan penjadualan pengagihan dan kerajaan negeri telah dimaklumkan bahawa SYABAS enggan berbuat demikian dan mahu menyerahkan tanggungjawab itu kepada kerajaan negeri.

Sehubungan itu, kerajaan negeri telah mengarahkan Unit Perancang Ekonomi (UPEN) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berbincang untuk membolehkan kerajaan negeri sekali lagi step in dalam pengurusan air SYABAS.

Penjadualan pengagihan air yang disebabkan pengurangan pelepasan air di empangan ini dijangka sehingga akhir Mac sekiranya keadaan cuaca panas berlanjutan seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah diarahkan untuk pro-aktif dalam membantu penduduk yang terjejas manakala pegawai pelaburan PBT perlu memantau kawasan industri masing-masing bagi memastikan penjadualan ini memberi kesan minima kepada pengilang.

Sementara itu usaha melakukan pembenihan awan akan terus dilakukan pada masa yang sesuai untuk menghasilkan hujan.

Kerajaan Selangor akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa dan berharap rakyat akan berhemah dalam penggunaan air.



TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM menteri besar Selangor.

No comments:

Post a Comment