23 February 2014

MAS Terus Perkhidmatan Ke Bandar AS


KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) meneruskan perkhidmatan ke bandar raya-bandar raya di Amerika Syarikat, melalui pelbagai perkongsian kod dan antara syarikat penerbangan.

Langkah ini dapat dilaksanakan melalui pakatan oneworld, demikian menurut MAS dalam satu kenyataan hari ini.
American Airlines dan Japan Airlines merupakan rakan kongsi bagi perkongsian kod syarikat penerbangan negara ke Amerika.

MAS akan menggantung penerbangannya ke Los Angeles susulan proses rasionalisasi laluan untuk mengurangkan kerugian.
Proses rasionalisasi laluan berkenaan berkuat kuasa 30 April, 2014.

Bagaimanapun MAS memberi jaminan kepada penumpangnya bahawa sambungan ke AS masih ada melalui pelbagai perkongsian kod dan perjanjian antara syarikat penerbangan.
Syarikat penerbangan negara itu mengumumkan bahawa perkongsian kod dengan American Airlines pada Mac 2013, membolehkan pilihan 118 penerbangan mingguan ke dan dari lima bandar raya Amerika melalui Eropah.

Pada Julai, syarikat penerbangan mengumumkan satu lagi siri perkongsian kod.
Perkongsian kod ini juga dilanjutkan ke Singapura dan Bangkok melalui Kuala Lumpur.
Ini memberi peluang kepada penumpang di AS untuk ke Asean tanpa sebarang masalah sambungan perjalanan.

Fasa kedua perkongsian kos akan membolehkan penumpang di Malaysia dan AS menempah terus dengan MAS dan memanfaatkan kelebihan pilihan sambungan antara Kuala Lumpur dan bandar raya Atlanta, Boston, Washington, Houston, Minneapolis, Portland, Seattle, San Francisco, Las Vegas dan San Diego melalui Los Angeles, New York, Chicago, Dallas dan Miami.

Semasa mengulas mengenai perjanjian berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Group Ahmad Jauhari Yahya berkata usaha itu akan menyediakan peluang yang hebat untuk memperluaskan rangkaian Amerika Syarikat MAS tanpa menggunakan penerbangan sendiri ke pelbagai bandar raya di sana.

"Perjanjian perkongsian kod yang lain juga sedang diusahakan. Selain daripada perkongsian kod, kami juga menghantar pelanggan kami ke AS dengan syarikat penerbangan yang dibenarkan dengan rangkaian oneworld."

Kerjasama perkongsian kod merupakan sebahagian daripada strategi MAS untuk membangunkan kerjasama komersil dengan anggota pakatan oneworld.

Ahmad Jauhari berkata ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif ke arah meningkatkan penyambungan udara denga pasaran keutamaan di luar negara untuk meningkatkan ketibaan pelancong ke Malaysia sebagaimana Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan dan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Pelanggan boleh membuat tempahan perjalanan mereka dengan MAS melalui saluran pengedaran syarikat penerbangan iaitu talian bebas tol 24 jam, 1300883000, pejabat tiket MAS dan ejen yang dilantik di seluruh Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment