20 February 2014

‘Lari’ tinggal hutang RM30,000


Puchong: “Kalau sudah tak nak duduk di sini sekalipun, sekurang-kurangnya tolonglah jelaskan yuran penyelenggaraan bulanan yang tertunggak,” itu permintaan pengurus bahagian pengurusan Pangsapuri Sri Begonia, Bandar Puteri, di sini, Adenan Ibrahim, 34, selepas 10 pemilik rumah di kawasan itu meninggalkan kediaman masing-masing secara serentak, tujuh tahun lalu.

Lebih malang apabila terdapat pemilik rumah yang tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan rumah mereka dalam keadaan rosak dan kotor sehingga memberi rasa tidak selesa kepada jiran.

Menurut Adenan, setiap pemilik rumah hanya perlu membayar yuran penyelenggaraan bulanan RM36 bagi memudahkan pihak pengurusan membaiki sebarang kerosakan di kawasan pangsapuri.


“Sudahlah mereka tidak pernah membayar yuran penyelenggaraan sejak menetap di sini, malah tergamak pula tinggalkan rumah dalam keadaan tidak terurus.

“Tolonglah fikirkan keselesaan dan keselamatan penduduk lain dan sila tampil untuk jelaskan yuran yang tertunggak hampir RM30,000 sejak tujuh tahun lalu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Difahamkan, 10 pemilik itu juga cuba dikesan pihak pengurusan melalui maklumat yang diberikan ketika membeli rumah, namun gagal apabila nombor telefon yang diberikan tidak aktif lagi.

Katanya, pihak pengurusan pangsapuri itu sentiasa bersedia memberi perkhidmatan terbaik untuk penduduk, namun sikap penduduk yang enggan dan menangguh membayar wang penyelenggaraan menyukarkan pihaknya.

“Apabila kami rujuk kepada pihak pemaju, mereka tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana kediaman itu sudah dibeli dan tidak berada di bawah tanggungjawab mereka lagi.

“Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pula hanya boleh bertindak menyita rumah yang ditinggalkan berikutan pemilik rumah gagal membayar cukai pintu sejak ditinggalkan,” katanya.

Lebih membimbangkan apabila ada remaja melakukan perkara terkutuk selain menjadi tempat bermalam bagi penagih dadah di unit yang ditinggalkan itu.

“Sampai bila kami perlu berdepan risiko bahaya daripada tindakan penduduk yang tidak bertanggungjawab meninggalkan rumah selama bertahun-tahun?

“Jika tidak mahu menetap di sini, sewakan kepada orang lain kerana ramai yang ingin menyewa rumah di kawasan bandar dan tolonglah kami supaya tiada lagi rumah kosong dalam pangsapuri ini,” katanya. - Mymetro

No comments:

Post a Comment