23 February 2014

Kementerian Kesihatan Kemuka Cadangan Bina Bangunan Baharu Hospital Kajang


KAJANG: Kementerian Kesihatan akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk membina bangunan baharu bagi menggantikan bangunan Hospital Kajang yang kini berusia 125 tahun.
Menteri berkenaan Datuk Seri S. Subramaniam berkata pembinaan bangunan baharu hospital itu adalah wajar dan seiring dengan pertambahan penduduk di sekitar Kajang, selain lokasi bangunan sedia ada terletak berhampiran jalan utama.

"Saya akan bawa perkara ini kepada perhatian Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi. Keputusannya bergantung kepada penilaian mereka," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Hospital Kajang di sini, Ahad.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan dan Anggota Lembaga Pelawat Hospital Kajang serta meninjau operasi hospital.
Dr Subramaniam berkata penduduk Kajang dan pihak pengurusan Hospital Kajang telah menyuarakan permintaan kepada kerajaan supaya membina sebuah bangunan baharu yang lengkap dengan kemudahan terkini di lokasi strategik di bandar itu.

"Saya terima pandangan itu dan menjelaskan kepada mereka bahawa ia bergantung kepada kos dan peruntukan kerana membina sebuah hospital baharu membabitkan kos sekuang-kurangnya dari RM800 juta hingga RM 1 bilion," katanya.

Beliau berkata jika cadangan itu tidak diterima, Kementerian Kesihatan akan membina sebuah bangunan tambahan enam tingkat dengan peralatan dan kelengkapan terkini di kawasan hospital sedia ada, seperti yang diputuskan sebelum ini.

Menurutnya Hospital Kajang yang dibina pada 1889 di kawasan seluas 6.47 hektar, kini mempunyai 1,003 tenaga kerja termasuk 35 doktor pakar, 70 pegawai perubatan, 120 pegawai perubatan siswazah dan 326 katil pesakit.

Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan juga meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi menaik taraf kemudahan dan kelengkapan sedia ada di Hospital Kajang.

Beliau berkata peruntukan itu antara lain akan digunakan untuk menambah bilangan katil, kelengkapan peralatan, kemudahan perkhidmatan dan sistem pendawaian di hospital itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment