18 February 2014

Johor minta harga air mentah ke Singapura dibincang semula


JOHOR BAHARU 18 Feb. - Kerajaan negeri Johor meminta kerajaan Pusat supaya membincangkan mengenai harga air mentah yang dibekalkan kepada Singapura dalam mesyuarat bersama kedua-dua negara pada masa depan.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata Johor mahu perbincangan mengenai isu itu dimulakan dengan segera.

"Saya berharap jika ada perbincangan di antara Malaysia dan Singapura, isu mengenai kajian semula harga air mentah itu dapat dimasukkan sebagai agenda di dalam perbincangan kedua-dua negara itu.


"Saya berharap kita dapat memulakan perbincangan dengan pusat bagi memperincikan langkah seterusnya. Rundingan harus bermula dengan segera," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.


Mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 1961 dan 1962, Public Utilities Board (PUB) Singapura membeli air mentah daripada Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Singapura sebaliknya menjual air terawat kepada Johor pada kadar harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment