20 February 2014

Ejen insuran dipenjara, disebat dan didenda


KUALA LUMPUR - Seorang ejen insurans dijatuhi hukuman penjara berjumlah 11 tahun, enam sebatan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan menipu ibu rakannya berhubung
pembelian polisi insurans, dua tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan terhadap Tee Wee Chiang, 29, bagi pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan.

Mahkamah juga menjatuhi hukuman denda RM50,000 bagi setiap pertuduhan dan dia diperintah menjalani hukuman penjara 20 bulan sekiranya gagal membayar denda itu. 

Bagaimanapun, Tee bernasib baik hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Tee juga bernasib baik apabila mahkamah membenarkan permohonan peguam Mohd Alizar Abdul Razak untuk penangguhan pelaksanaan kesemua hukuman sementara menunggu rayuan yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Bapa kepada seorang anak itu kemudian dilepaskan dengan bon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Terdahulu dalam penghakimannya, Mat Ghani berkata mahkamah mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu dan tertuduh disabitkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Wong Kok Foong, 69, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh menolong mangsa membeli polisi insurans pelaburan daripada sebuah syarikat insurans.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan premium bayaran insurans berjumlah RM400,000 ke dalam akaun bank tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ambank No 16 Jalan 3/50, Taman Setapak Indah Jaya, Jalan Genting Klang, di sini, jam 9.55 pagi pada 22 Febuari 2012.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu mangsa bagi tujuan sama atas nama orang yang diinsuranskan iaitu Low Lucille, 24, dan Low Louise, 27, yang kemudian mendorong mangsa menyerahkan premium bayaran insurans berjumlah 400,000 melalui cek ke dalam akaun bank tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Nombor 997, Jalan Kuang Gunung 5, Taman Kepong, di sini jam 3 petang pada 16 April 2012.

Bagi kedua-dua kesalahan itu Tee didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat dan denda.

Terdahulu, Mohd Alizar memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya kerana tertuduh penanggung tunggal keluarga selain baru berkahwin dan mempunyai anak yang masih kecil.

Namun Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal atas alasan tertuduh dan mangsa saling mengenali tetapi menyalahguna kepercayaan yang diberikan kepadanya.  - Bernama

No comments:

Post a Comment