14 February 2014

'Dia rindu anak kandungnya'


KEMAMAN – “Ayah sekarang terlantar sakit, dari raut wajahnya kami tahu dia rindukan anak-anak kandungnya,” kata Mohd Fauzi Othman, 39, yang merayu agar dua adik-beradik tirinya pulang menemui ayahnya.

Bapa tirinya, A Ghani Salleh, 71, yang tinggal di Rumah Pangsa Dusun Nyior, dekat sini, mempunyai dua anak kandung hasil perkahwinan dengan isteri pertama iaitu Safri, 39, yang tidak bersua muka sejak dua tahun lalu manakala anak keduanya, Rohana, 37, terpisah dengannya sejak lebih 30 tahun lalu.

Mohd Fauzi berkata, kali terakhir Safri pulang menjenguk bapanya pada Hari Raya Aidilfitri 2012 sebelum tidak dapat dihubungi sehingga sekarang.

“Setelah bercerai pada 1980-an, ayah berkahwin dengan ibu saya, Semek Leper (meninggal dunia pada usia 80 tahun akibat penyakit kencing manis pada 29 November tahun lalu) ketika saya berusia 12 tahun pada 1986 dan waktu itu ayah juga tak pernah berjumpa anak perempuannya, tapi namanya ayah selalu sebut.

“Safri pula gagal dihubungi kerana biasanya kami menghubungi bekas isteri Safri untuk berhubung dengannya, tetapi kini bekas isteri Safri telah tukar nombor telefon,” katanya.

A Ghani mula terlantar sakit akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak dua minggu lalu dan kini makan minumnya dijaga oleh Mohd Fauzi sekeluarga.

Kata Mohd Fauzi yang mempunyai tiga lagi adik-beradik yang masih hidup, mereka difahamkan Rohana masih tinggal dengan bekas isteri pertama bapa tirinya itu di Marang.

“Ayah sekarang tak selera makan dan badannya susut. Baru-baru ini dia ada beritahu pada saya yang dia terlalu rindukan arwah ibu, saya takut sesuatu terjadi padanya.

“Jadi saya harap anak-anak kandung ayah dapat pulang berada di sisi ayah saatnya sakit sebegini, sebab kepulangan anak-anak kandung juga mungkin dapat memberinya semangat untuk kembali
sihat,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Fauzi meminta sesiapa yang mengenali Safri dan Rohana agar dapat menghubunginya menerusi talian 013-9066719. - SH

Mohd Fauzi di sisi A Ghani menunjukkan gambar bapa tirinya itu ketika muda. Gambar kecil: A Ghani ketika muda.

No comments:

Post a Comment