18 February 2014

Dakwaan Kassim hancur peradaban Islam


SHAH ALAM – Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik menyifatkan dakwaan sasterawan/pemikir, Dr Kassim Ahmad adalah usaha untuk menghancurkan peradaban keilmuan Islam yang telah dibina.

Menurutnya, ia merupakan satu pukulan untuk mencacatkan nilai substantif Islam itu sendiri.

“Penolakan secara tidak bermetod terhadap Hadith dan Sunnah serta segala yang berkaitan dengannya hanyalah usaha menghancurkan peradaban keilmuan Islam yang telah terbina selama lebih seribu empat ratus tahun lamanya.

“Bahkan ianya juga merupakan satu pukulan untuk mencacatkan wajah dan nilai substantif Islam itu sendiri seraya menafikan lebih dari separuh kandungan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sepertimana yang diwarisi dari para Sahabat, Tabiin selepas mereka dan juga Tabi' Tabi'in yang mengikuti metod yang sahih yang mereka pelajari dari Nabi Muhammad SAW itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, sebuah portal melaporkan Kassim mengajak rakyat Malaysia dan parti politik kembali kepada Islam sebenar, dalam satu seminar di Putrajaya.

Bagaimanapun idea beliau tetap menjadi kontroversi apabila mendakwa Islam sebenar di negara ini telah diseleweng kerana mengikut satu sistem “kasta paderi” yang dipanggil ulama.

Maszlee yang juga pemerhati politik melihat kenyataan Kassim sebagai penafian terhadap isi kandungan al-Quran.

“Penolakan secara pukal Sunnah dan Hadis Nabi di atas alasan ia bukan dari Tuhan merupakan penafian terhadap isi kandungan al-Quran. Ini jelas mempamerkan kegersangan si penutur tentang tradisi al-Quran itu sendiri yang telah diwarisi semenjak al-Quran itu diturunkan di Mekah lagi.

“Ia juga menonjolkan kejahilan sang penolak Sunnah kepada persoalan tradisi keilmuan Islam sama ada pada zaman periwayatan lisan pada awalnya mahupun padazaman penulisan ilmu. Ini merupakan salah satu daripada akibat menafikan peranan autoriti dan metodologi yang sahih dan diperakui zaman berzaman di dalam menyingkapi al-Quran dan agama Islam itu sendiri,” katanya.

Menolak kenyataan Kassim yang menyebut umat Islam mengikut satu kasta paderi yang dipanggil ulama, Maszlee berkata tidak wujud amalan seperti itu.

“Penerimaan autoriti berteraskan metod yang sahih dalam tradisi keilmuan Islam tidak akan mewujudkan kelompok kepaderian seperti yang didakwa. Malah sepanjang sejarah Islam tidak wujud konotasi institusi mahupun kerangka pengamalan kepaderian seperti zaman kegelapan Kristian Eropah.

“Apa yang wujud ialah penerimaan autoriti dan metodologi yang sahih telah melahirkan ramai sarjanawan, cerdik pandai dan tokoh-tokoh ilmu dari pelbagai bangsa di dalam segenap bidang keilmuan berkaitan al-Quran dan Hadis,” katanya. - sh

No comments:

Post a Comment