21 February 2014

Calon Barisan Nasional di Kajang akan diumum sehari dua lagi


KUALA LUMPUR 20 Feb. - Spekulasi mengenai siapa calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dijangka diketahui dalam tempoh sehari dua lagi, kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong.
Menurut beliau, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan nama calon tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat BN yang akan diadakan esok atau lusa.
Beliau yakin calon MCA akan mewakili BN di PRK DUN Kajang kerana kerusi tersebut secara tradisinya ditandingi parti itu.
"MCA sudah menghantar senarai nama calon kepada BN beberapa hari lalu dan Timbalan Perdana Menteri akan buat pengumuman nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ka Siong bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama calon yang dihantar kepada BN itu kerana tidak mahu mendahului Timbalan Pengerusi BN yang akan membuat pengumuman nanti.
Namun, berdasarkan laporan akhbar sebelum ini, Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun mendahului persaingan untuk menjadi calon BN di PRK DUN Kajang kerana beliau diterima baik oleh masyarakat termasuk kaum Cina di kawasan tersebut.
Seorang lagi yang dikatakan disenarai pendek oleh MCA untuk dipertimbangkan sebagai calon BN ialah Ketua Pergerakan Pemudanya, Chong Sin Woon.
Sementara itu, ditanya persiapan MCA untuk menghadapi PRK DUN Kajang, Ka Siong berkata, pihaknya rancak mengadakan pertemuan dengan masyarakat di kawasan tersebut termasuk dengan semua ketua dan petugas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kajang semalam.
"Malam ini pun, saya akan menghadiri beberapa program bertemu penduduk di Kajang. Kita nampak sudah mula ada reaksi positif daripada pengundi di Kajang terhadap BN.
"Kita sudah rancang banyak program. Selepas nama calon diumumkan, program-program ini akan diadakan dengan lebih rancak," ujarnya.
Menurut beliau, bagi menghadapi PRK DUN Kajang, BN perlu mengambil pendekatan mendampingi pengundi dan tidak boleh menggunakan cara-cara yang retorik atau gimik semata-mata.
"Lawan kita di PRK DUN Kajang bukan calang-calang orang. Jadi, adalah penting untuk kita mendekati pengundi bagi memberikan penerangan dan menarik sokongan mereka," katanya.
utusan

No comments:

Post a Comment