16 February 2014

18 Hari Kena Culik


SENAWANG - Seorang pelajar kolej swasta di Nilai yang dilaporkan hilang akibat diculik sejak 18 hari lalu akhirnya berjaya diselamatkan pihak polis, malam kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kes penculikan membabitkan warga Bahrain berusia 19 tahun itu terbongkar melalui penahanan tujuh suspek berusia lingkungan 20an di dua lokasi berasingan, baru-baru ini.

“Pelajar lelaki itu ditemui dekat Taman Tasik Semenyih, malam kelmarin. Semasa diselamatkan, kedua-dua belah kaki dan tangan mangsa masih terikat. Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Susulan itu, kita menahan lima suspek iaitu dua warga Bahrain, seorang dari Sri Lanka manakala dua lagi merupakan warga tempatan untuk membantu siasatan. Kesemua suspek ditangkap di lokasi mangsa dijumpai,” katanya.

Katanya lagi, ujian air kencing dijalankan terhadap kelima-lima suspek berkenaan menunjukkan mereka positif mengambil dadah jenis ganja.
“Pada masa sama, polis turut merampas beberapa ketulan mampat daun kering dipercayai daun ganja, empat bilah parang, dua bilah pisau, dua utas jam tangan, satu komputer riba, 11 telefon bimbit, sebuah motosikal, kereta Perodua Myvi dan Kia Spectra di tempat kejadian.

“Kita juga menjumpai sebuah televisyen LCD dan permainan video jenis Sony Playstation dipercayai kepunyaan mangsa, di situ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Unit Ronda Bermotosikal (URB) di pasar raya Tesco Extra, dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, pihaknya berjaya menahan dua lagi individu warga tempatan di Kajang, Selangor awal pagi semalam. Kedua-duanya juga disyaki terlibat bersubahat dalam insiden penculikan tersebut.
“Ketujuh-tujuh suspek ditahan reman 14 hari dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Motif penculikan dalam siasatan memandangkan ada beberapa suspek merupakan pelajar kolej yang sama dengan mangsa dan turut mengenalinya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya. - malaysiandigest.com

No comments:

Post a Comment