15 January 2014

Rakyat Malaysia menang dalam kes larangan masuk ke Amerika Syarikat

Hakim Amerika Syarikat (AS) menyebelahi rakyat Malaysia apabila mengenepikan larangan masuk ke negara itu oleh kerajaannya dengan berkata proses pembetulan tidak cukup untuk membetulkan kesilapan dalam senarai yang dibuat.


Hakim Daerah San Francisco, Willian Alsup membuat keputusan itu ke atas saman yang dikemukakan oleh Profesor Rahinah Ibrahim (gambar), seorang warganegara Malaysia.

Polisi larangan masuk ke AS menetapkan mana-mana individu yang dipercayai mempunyai hubungan dengan pengganas dimasukkan dalam pengkalan data untuk disekat daripada menggunakan kapal terbang komersial memasuki negara itu tetapi pengkritik berkata, adalah mustahil untuk mengeluarkan nama individu daripada senarai itu.

Jurucakap Jabatan Keadilan Amerika, Wyn Hornbuckle, berkata kerajaan akan mengkaji penghakiman itu dan enggan memberikan ulasan lanjut.
Peguam, Elizabeth Pipkin yang mewakili Rahinah berkata, "Keadilan terlaksana akhirnya kepada anak guam kami, wanita tidak bersalah yang dimasukkan dalam senarai sistem pencegahan yang tidak betul."

Rahinah, dekan fakulti rekabentuk dan arkitek sebuah universiti di Malaysia, berjuang selama lapan tahun dalam sistem keadilan Amerika bagi membuang namanya dalam pengkalan data itu selepas ditahan di lapangan terbang San Francisco 2005 lalu ketika dalam perjalanannya dari Malaysia dan singgah di Hawaii.

Menurut laporan Associated Press (AP) yang memetik kenyataan Pipkin, adalah hampir mustahil untuk membuang sebarang nama yang dimasukkan ke dalam data itu. Peguam berkata demikian dalam kenyataan pembukaan dalam perbicaraan di San Francisco.
Rahinah memberitahu AP, namanya tersilap dimasukkan ke dalam pangkalan data itu kerana beliau berasal dari Malaysia dan beragama Islam.

Wanita berusia 48 tahun itu menafikan sebarang kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas ketika disoal siasat oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada 2004.
Sejak penahanannya pada 2005, beliau disekat daripada memasuki AS, lapor AP berdasarkan laporan akhbar Amerika, San Jose Mercury News.

AP juga melaporkan, beliau dilarang memasuki AS walaupun untuk membuat kenyataan dalam perbicaraannya. – 15 Januari, 2014. - TMI

No comments:

Post a Comment