Datuk Mustafa Ali (gambar) mengingatkan pemimpin dan ahli PAS supaya
tidak membuat sebarang kenyataan bersifat spekulatif berhubung isu
kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan isu kedudukan
menteri besar Selangor.
Menurut Setiausaha Agung PAS itu, sehingga kini parti Islam itu dan
Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah membincangkan isu berkaitan kedudukan
menteri besar Selangor dan apa yang dibincangkan hanyalah tentang
kekosongan DUN Kajang selepas Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi pada
Isnin.
"Secara amalan yang berlaku dalam PR, mana-mana kerusi yang dikosongkan
atas apa juga sebab sekalipun, calon yang akan mengisi kekosongan itu
adalah daripada parti yang bertanding di kawasan itu sebelumnya," kata
Mustafa dipetik daripada portal milik PAS Harakahdaily.
"Oleh kerana DUN Kajang pada pilihan raya umum lalu ditandingi calon
PKR, maka calon yang dipilih untuk mengisi kekosongan itu mestilah
daripada PKR."
Menurut Mustafa, siapa pun calon yang dicadangkan oleh PKR untuk
mengisi kekosongan itu akan disokong oleh parti-parti komponen PR
seperti amalan yang berlaku sebelum ini.
Semalam Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman mengatakan parti
Islam itu tidak akan bersetuju sekiranya Anwar menggantikan Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
Katanya sekiranya Abdul Khalid mengosongkan jawatan itu, PAS akan menamakan Iskandar Samad sebagai menteri besar Selangor.
Dalam satu kenyataan awal pagi ini, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua
menyatakan sokongan penuh terhadap pemilihan Anwar sebagai calon bagi
kerusi DUN Kajang dalam PRK yang akan diadakan tidak lama lagi.
"DAP Selangor akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada
rakan kami PKR untuk memastikan kemenangan besar PR dan Selangor yang
lebih kuat," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.
"Jika kemasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Pakatan Selangor
boleh membantu mengangkat kami ke tahap lebih tinggi, Selangor akan
menjadi role model kepada negeri lain."
Kenyataan Pua itu dilihat sebagai respons kepada kenyataan PAS Selangor
yang mahu Abdul Khalid terus kekal memimpin negeri terkaya itu.
Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh Isnin lalu mengumumkan peletakan
jawatan Lee dalam satu surat yang diterimanya pada hari sama.
Semalam PR mengumumkan Ketua Umum PKR, Anwar dipilih untuk bertanding PRK DUN tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat 5 Februari ini bagi
membincangkan tarikh dan persiapan PRK tersebut. – 29 Januari, 2014.
Wajar pecat jika ahli PAS masuk bertanding.
No comments:
Post a Comment