28 January 2014

MAS gantung penerbangan KL - Los Angeles

Penerbangan Malaysia (MAS) akan menggantung perkhidmatannya ke Los Angeles berikutan pelaksanaan rasionalisasi bagi mengatasi kerugian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya, berkata walaupun sudah lama terbang ke Los Angeles, laluan itu tidak lagi menguntungkan.

Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan negatif itu, termasuk keupayaan berlebihan, saingan yang menyebabkan hasil lebih rendah, kos tinggi menguruskan pesawat B777 dan tekanan daripada kenaikan berterusan harga bahan api.

“Keadaan ini meningkatkan lagi tekanan ke atas perbelanjaan kumpulan MAS,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, semalam.

MAS kesal atas kesulitan yang dihadapi penumpang berikutan perubahan itu dan memberi jaminan akan memenuhi semua tempahan awal bagi laluan terlibat.

Atur penerbangan alternatif

“Syarikat akan mengaturkan penerbangan alternatif bagi memastikan keselesaan penumpang tidak terjejas,” katanya sambil menambah rasionalisasi laluan dijangka memberi kesan minimum ke atas kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di Asia.

Syarikat penerbangan nasional itu berkata, ia akan mempromosi perkhidmatan penyambungan antara Malaysia, Amerika Syarikat dan destinasi antarabangsa lain, selain memberi sumbangan kepada usaha menyeluruh pelbagai pihak untuk meningkatkan ketibaan pelancong ke Malaysia. - BERNAMA

Kerugian besar.

No comments:

Post a Comment