09 January 2014

Demi patriotisme, kelas diminta papar gambar pemimpin, kecuali daripada Pakatan


Putrajaya secara senyap memaklumkan kepada semua sekolah supaya meletakkan potret pemimpin persekutuan dan negeri di dalam kelas untuk menyemai semangat patriotisme, tetapi di negeri Pakatan Rakyat (PR) hanya gambar sultan atau gabenor negeri diletakkan tanpa menteri besar atau ketua menteri.

The Malaysian Insider difahamkan satu pekeliling daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dihantar melalui sistem aplikasi mesej WhatsApp atau menerusi lawatan pegawai pendidikan daerah yang menyatakan sekolah "digalakkan" untuk meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong, permaisuri, perdana menteri, menteri pelajaran dan ketua menteri atau menteri besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, adalah daripada kerajaan BN manakala musuh mereka PR memerintah di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.
Menerusi semakan, The Malaysian Insider mendapati beberapa sekolah di Pulau Pinang dan Selangor mempunyai potret di sebahagian bilik darjah dan koridor.

Pegawai pendidikan mengalu-alukan arahan tidak rasmi itu tetapi ibu bapa berkata, KPM membazirkan wang dan sebaliknya harus memberi tumpuan kepada latihan lebih baik untuk guru seperti dicadangkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.
Pengarah Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin memberitahu The Malaysian Insider gambar akan membantu pelajar mengenali pemimpin negara dan selaras dengan sukatan pelajaran sivik dan kewarganegaraan.

"Satu-satunya isu yang mungkin datang adalah kos meletakkan gambar dalam setiap bilik darjah. Jika kita mempunyai dana, kita boleh meminta untuk meletak potret rasmi.
"Tetapi ia adalah sudah cukup baik jika guru boleh memotong gambar daripada akhbar dan meletakkan mereka di atas papan kenyataan di dalam kelas untuk membantu pelajar mengenali raja dan pemimpin," katanya.
Beliau berkata, bagi negeri di bawah pentadbiran PR, jabatan pelajaran  negeri mempunyai pilihan untuk memohon kepada kementerian bagi memasukkan gambar menteri besar atau ketua menteri yang diletakkan di dalam bilik darjah.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP), Hashim Adnan bersetuju potret akan membantu menanamkan semangat patriotisme dan meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar.
"Korea Selatan melakukannya. Ia adalah baik untuk menyemai pengetahuan jenis ini untuk anak kita," katanya, tetapi menyatakan ketidakpastian bekalan gambar.

Hashim berkata, pembekal yang didatangi oleh beberapa sekolah menawarkan pakej RM10 meliputi semua lima potret dan bagi sekolah berminat, mereka terpaksa membelanjakan beberapa ratus ringgit pada potret semata-mata.
"Arahan itu tidak wajib, jadi jika sekolah tidak mempunyai cukup dana untuk itu, mereka tidak boleh dipaksa untuk melakukannya," katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi gerakan advokasi pendidikan iaitu Kumpulan Tindakan Pendidikan Keluarga (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim tidak bersetuju dengan langkah itu, dan berkata kementerian perlu tahu keutamaannya.
"KPM diberikan peruntukan besar dan sepatutnya ia digunakan dengan baik dan memberi tumpuan kepada latihan guru seperti ditekankan dalam pelan tindakan pendidikan negara," katanya.

Noor Azimah juga tidak bersetuju tindakan itu akan membantu memupuk semangat patriotik di sekolah.
"Ini tidak perlu. Potret sudah berada di dalam dewan sekolah, pejabat pentadbiran dan pejabat guru.
"Punca kepada masalah sistem pendidikan kita adalah kualiti guru. Jadi mari kita belanjakan wang yang ada dengan bijak," katanya.

Di Sarawak, Desmond Davidson melaporkan sekolah tidak menerima apa-apa arahan mengenai perkara itu.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak, Jisin Nyud menyambut baik cadangan itu tetapi mempersoalkan kemungkinan pelaksanaannya di sekolah luar bandar.
"Ia adalah satu idea yang baik. Mungkin tidak begitu banyak untuk memupuk semangat patriotik, tetapi sekurang-kurangnya pelajar akan mengenali raja dan permaisuri mereka, menteri pelajaran atau ketua menteri.

"Tetapi siapa yang akan membayar pembelian dan kos penghantaran gambar ini ke sekolah di kawasan luar bandar,” katanya.
Jisin berkata, kebanyakan sekolah kecil di luar bandar tidak akan mampu.
"Jika ada arahan, maka kerajaan perlu mengambil kira kos menghantar gambar ini kepada sekolah luar bandar," katanya. - 9 Januari 2014

No comments:

Post a Comment