05 December 2013

Semakan semula gaji Ahli Parlimen dijangka dibentang di Parlimen tahun depan

KUALA LUMPUR: Semakan semula gaji Anggota Parlimen dijangka dibentang pada persidangan Parlimen akan datang, tahun depan.


Bagaimanapun, jumlah kenaikannya masih dalam perbincangan dan tertakluk kepada kedudukan kewangan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen.


Beliau berkata Jawatankuasa Dewan Rakyat telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan tentang perkara itu baru-baru ini dan "langkah untuk menaikkan gaji Anggota Parlimen akan dibahas di dewan itu pada persidangan tahun depan."

Gaji Anggota Parlimen Malaysia adalah antara yang paling rendah di dunia, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ini, setiap Anggota Parlimen menerima gaji pokok RM6,508.59 sebulan, di samping elaun bulanan RM5,000 bagi menampung perbelanjaan keraian, gaji pemandu, perjalanan dan bil telefon bimbit.
Mereka juga dibayar elaun mesyuarat RM200 sehari apabila menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan elaun harian RM150 kerana menghadiri mesyuarat dengan agensi kerajaan.

Pada 2011, kerajaan menarik balik cadangan menaikkan gaji dan elaun 222 Anggota Parlimen berikutan bantahan Anggota Parlimen pembangkang. - BERNAM

No comments:

Post a Comment