12 December 2013

'Mak Engku' direman

KUALA SELANGOR 11 Dis. - Seorang nenek berusia 60 tahun yang mempunyai 16 rekod jenayah dan dikenali sebagai 'Mak Engku' direman selama 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan penjaga cicak tokek yang berlaku di lombong Jalan Rantau Panjang, Bestari Jaya pada 30 Ogos lalu.


Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Selangor, Shah Wira Abdul Halim dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 bersama Seksyen 12 akta yang sama.
Warga emas itu merupakan wanita pertama yang ditahan mengikut akta berkenaan di negara ini sejak rang undang-undang bagi meminda PCA 1959 diluluskan di Dewan Rakyat pada Oktober lalu.

Akta tersebut digubal untuk mencegah aktiviti jenayah berat dan jenayah terancang yang semakin meningkat di negara ini.
Warga emas yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor itu tiba di mahkamah pada pukul 10.50 pagi sebelum dibawa keluar pada pukul 11.30 pagi.

Suspek ditahan polis di satu lokasi di Kuala Selangor pada pukul 2 pagi, 11 September lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan penjaga cicak tokek tersebut.
Selain wanita terbabit, polis turut menahan 16 lelaki berusia 21 hingga 48 tahun secara berperingkat di sekitar Selangor dan Hilir Perak.

Kesemua yang ditahan adalah ekoran kematian mangsa, Syairul Helmy Azhar, 24, dipercayai dibunuh dan mayatnya ditemui di dalam sebuah kereta yang separuh tenggelam di sebuah lombong.
Mangsa yang juga seorang ahli perniagaan dikatakan orang yang diamanahkan oleh wanita itu untuk memelihara cicak tokek yang dikatakan bernilai RM 1 juta dan mencari pembeli yang berpotensi.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan telah menghilangkan diri bersama reptilia itu sehingga menyebabkan wanita terbabit meminta sekumpulan lelaki untuk menjejaknya dan mangsa akhirnya ditemui mati dibunuh.
Sementara itu, hasil siasatan mendapati wanita warga emas terbabit mempunyai 16 rekod jenayah berkaitan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kes penipuan urusan perniagaan di Perak dan Pahang.

Susulan itu, suspek kemudian turut disiasat berkaitan kes penipuan di Perak dan Pahang sebelum diserahkan semula kepada polis Selangor untuk meneruskan siasatan kes pembunuhan penjaga cicak tokek mengikut PCA. - Utusan

No comments:

Post a Comment