Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Abdul Rahim
Mohamad Radzi menyatakan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu pernah
'berselawat' sebagaimana yang diamalkan penganut Syiah pada 2005.
Dalam kenyataan yang dibacakan hari ini, Rahim berkata maklumat itu
hasil dari temuramah antara pegawai KDN Zamihan Mat Zin bersama Ahli
Majlis Fatwa Kedah, Profesor Madya Dr Abdul Aziz Hanafi.
"Dr
Abdul Aziz Hanafi menjelaskan bahawa Mohamad Sabu pernah melafazkan
selawat sebagai mana yang diamalkan oleh penganut Syiah pada satu sesi
ceramah PAS di Madrasah Diniah, Arau, Perlis pada tahun 2005," kata
Abdul Rahim.
Abdul Rahim berkata Mohamad juga pernah menyatakan
kekagumannya dengan kepimpinan dan perjuangan pemimpin revolusi Iran
1979, Imam Ruhollah Khomeini serta memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan
Hassan Nasrullah.
Rahim berkata Mohamad juga kerap kali
berulang-alik ke Iran untuk beberapa urusan seperti program penghantaran
pelajar di Qom, Iran dan sudah empat-lima kali bertemu Hassan.
"Ketika mengulas mengenai perutusan hari Krismas pada tahun 2008 bagi
penganut Kristian di Malaysia, beliau telah menggunakan pendekatan ulama
Syiah iaitu Imam Khomeini sebagai terma tujukan untuk meraih sokongan
politik dan agenda perpaduan," kata beliau.
Dalam kenyataan lima muka itu, Abduk Rahim turut memetik portal Antarapos dan blog www.dukeofumno.blogspot.com sebagai bukti Mohamad terlibat dalam Syiah.
Abdul Rahim berkata KDN mengambil sumber blog bertajuk "Ekslusif..!!
Tok Guru Pondok Sahkan Mat Sabu Penganut Syiah" yang memetik seorang
bernama 'Tuan Guru Haji Abd Rahim" dari Sg Jagung, Pendang, Kedah yang
berkata pernah melihat Mohamad menunaikan solat dengan menggunakan
sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya.
"Amalan ini sinonim dengan golongan Syiah.
"Temuramah yang dibuat agensi berita AntaraPos dengan
Datuk Audit Ghazali, Timbalan Presiden JATI menjelaskan bahawa Mohamad
Sabu merupakan ikon Syiah dan beliau gagal menafikan dirinya mempunyai
kaitan dengan Syiah," kata Abdul Rahim.
Selain itu, Mohamad juga
dikatakan pernah mengunjungi masjid Syiah di Kg Aluar, Wilayah Satun,
Thailand dan melakukan kunjungan mesra ke atas pemimpin Syiah dan
menghadiri majlis ramah mesra di sana.
Beliau turut memberitahu
media temuramah KDN dengan rakan Mohamad bernama CN Afghani di Masjid
Jamek Kuala Lumpur tahun lalu serta bekas pemimpin politik yang pernah
bersama beliau dalam perjuangan parti menunjukkan Mohamad 'cenderung'
dengan fahaman tersebut.
"Keterangan dari rakan-rakan beliau
yang pernah bersama-sama berjuang dalam lapangan politik yang sana turut
memperakui bahawa beliau seorang yang mempunyai kaitan dengan Syiah,"
kata beliau.
Abdul Rahim mengatakan KDN termasuk polis serta
agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim) dan jabatan agama Islam negeri akan bekerjasama membendung
pengaruh Syiah di kalangan umat Islam negara ini.
Bagaimanapun
beliau langsung tidak memberi langkah lanjut yang akan dibuat KDN atau
pihak lain berkenaan kes Mohamad malah menamatkan sidang media tanpa
mengambil sebarang soalan.
"KDN akan bertanggungjawab terhadap
aspek keselamatan manakala Jakim dan jabatan agama Islam negeri akan
melihat dari aspek akidah dan penguatkuasaan di peringkat negeri,"
katanya. - Mkini
No comments:
Post a Comment