17 December 2013

Harun, pengikut didakwa


KUANTAN 16 Dis. - Ketua ajaran sesat ‘Tuhan Harun’, Harun Mat Saat dan tiga pengikutnya dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung tuduhan membunuh Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd. Malek, bulan lalu.

Seorang daripada pengikut ajaran sesat itu, Sumustapha Suradi, 39, menghadapi tuduhan membunuh Ahmad Raffli bersama-sama dua lagi yang masih bebas di rumah mangsa di No. 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini kira-kira pukul 1.50 petang, 10 November lalu.

Tertuduh dari Kampung Sibugal Besar, Sandakan, Sabah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori.
Dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman.

Sementara Harun, 47; isteri ketiganya, Azida Mohd. Zol, 30, dan seorang lagi pengikutnya, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 37, didakwa bersama-sama Sumustapha dan dua lagi yang masih bebas untuk bersetuju antara satu sama lain melakukan konspirasi jenayah yang membawa kepada pembunuhan Ahmad Raffli.
Kesalahan itu yang didakwa dilakukan pada masa, tarikh dan tempat yang sama yang bertentangan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun tersebut yang turut memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Ketiga-tiga mereka juga membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib @ Hamid manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.

Harun yang mengunakan kerusi roda kerana diserang angin ahmar dilihat tidak boleh bercakap dan hanya mengunakan isyarat tangan untuk membuat pengakuan tidak bersalah.
Dalam pada itu, Hermes Media Putra meminta pihak mahkamah membenarkan Harun untuk menjalani rawatan berkala di hospital kerana penyakit angin ahmar.

‘‘Harun telah mengikuti rawatan akibat penyakit ini sejak Julai lalu di Hospital Sungai Buloh. Saya harap mahkamah dapat benarkan anak guam saya terus menjalani rawatan,’’ katanya.
Hakim Ab. Karim kemudian membenarkan permohonan itu dan mengarahkan laporan perubatan Harun dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk memudahkan dia menjalani rawatan di situ.
Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 28 Januari depan.

Pertuduhan yang dihadapi tidak membenarkan kesemua tertuduh dibebaskan dengan jaminan.
Terdahulu di Mahkamah Majistret, kesemua tertuduh didakwa atas tuduhan sama di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali yang kemudiannya membenarkan kes itu dipindahkan serta-merta ke Mahkamah Tinggi.

Dalam pada itu, tempoh tahanan reman sembilan lagi pengikut ajaran sesat itu dilanjutkan sehingga 23 Disember ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut terhadap kes ini.
Memetik laporan akhbar sebelum ini, dalam kejadian pembunuhan tersebut, Ahmad Raffli maut ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya.

Ekoran kejadian itu, polis pada 15 November lalu telah mengedarkan 27 keping gambar ketua dan pengikut ajaran sesat Tuhan Harun yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.
Pada 20 November, Harun berjaya diberkas polis bersama Azida dan pemandunya, Nor Hairi Harun, 41, dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Bandar Baru Tangkak, Johor, kira-kira pukul 3.30 petang.

Susulan penahanan itu, polis turut merampas sepucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam kejadian tembakan tersebut. - Utusan

No comments:

Post a Comment