IPOH 14 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini
mengekalkan hukuman penjara masing-masing sembilan dan lima tahun serta
sebatan antara satu dan tiga kali terhadap enam lelaki yang didapati
bersalah merogol seorang pelajar berusia 15 tahun secara bergilir-gilir,
tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani memutuskan demikian selepas
menolak rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan hukuman
yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan dekat sini pada 20
Julai tahun lalu.
Hakim Zainal Adzam berkata, rayuan itu tidak mempunyai merit kerana
hukuman tersebut sudah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh
Saiful Azimi Mhd. Razali, Mohd. Shahabudin Hashim, Mohamed Shafeq
Mohamad Shahimi, Mohd. Athika Mohd. Hanapi dan Syahrul Hisyam Hashim
serta seorang pesalah juvenil berusia 18 tahun.
"Sehubungan itu, mahkamah berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen Teluk
Intan, Faiz Dzaiyuddin tidak terkhilaf ketika membuat sabitan salah dan
hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh-tertuduh terbabit," kata
beliau.
Berikutan itu, Saiful Azimi, 32, dan Mohd. Shahabudin, 26, kekal
menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan sebatan tiga kali manakala
Mohamed Shafeq, 23, Mohd. Athika, 22, dan Syahrul Hisyam, 24,
masing-masing dipenjara lima tahun dan sebatan sekali.
Hakim Zainal Adzam turut mengekalkan hukuman terhadap pesalah juvenil
tersebut yang berusia 15 tahun ketika kejadian, yang diperintahkan
dihantar ke Sekolah Tunas Bakti, Kajang selama tiga tahun.
Kesemua mereka disabitkan bersalah merogol mangsa di Bilik Klah 6,
Spa Keluarga, Felda Residence Hot Spring Sungai Klah, Sungkai di antara
pukul 6.10 malam dan 8 malam, 28 Februari 2010 .
Mereka turut didapati bersalah merogol mangsa di sebuah rumah
bernombor D6, Jalan Melor, Felda Sungai Klah di antara pukul 12 tengah
hari dan 6 petang, 1 Mac 2010.
Saiful Azimi turut melakukan kesalahan yang sama terhadap remaja itu
di rumah A 24, Felda Sungai Klah antara pukul 12 tengah hari dan 6
petang, 1 Mac lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun
serta boleh dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Khairuddin
manakala keenam-enam tertuduh diwakili peguam R. Rajasekaran.
Mahkamah turut menetapkan 15 Januari tahun depan keputusan rayuan dua
lagi tertuduh iaitu Mohd. Shafiq Abu Samah, 23, dan Mohd. Rosli
Mustapa, 26, bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan tahun dan
sebatan sekali. - Utusan
No comments:
Post a Comment