23 November 2013

Pengusaha rugi RM500j

KLANG 22 Nov. - Syarikat pengangkutan yang beroperasi di Pelabuhan Klang dijangka mengalami kerugian hampir RM500 juta disebabkan kesesakan trafik yang menghubungkan pelabuhan berkenaan semakin meruncing.

Presiden Persatuan Syarikat Pengangkutan Malaysia (AMH), Datuk Che Azizuddin Che Ismail berkata, keadaan jalan raya yang menghubungkan terminal North Port dan West Port ketika ini sangat teruk disebabkan kerja-kerja pembinaan di Jalan Kem.

Menurutnya, kesesakan trafik menyebabkan produktiviti penghantaran merosot sebanyak 20 peratus bulan lalu apabila kerja-kerja pembinaan dimulakan, manakala kos penggunaan diesel juga meningkat 20 peratus daripada sebelum ini.

"Secara puratanya, perolehan keseluruhan syarikat pengangkutan meliputi 5,000 orang pemandu lori adalah sebanyak RM225 juta sebulan, tetapi bulan lalu telah merosot sebanyak RM36 juta disebabkan masalah berkenaan.

"Disebabkan projek pembinaan tersebut mengambil masa setahun bermula bulan lepas, maka syarikat pengangkutan dijangka mengalami kerugian hampir mencecah setengah bilion jika tiada sebarang tindakan diambil," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Che Azizuddin berkata, pihak AMH tidak menentang projek berkenaan tetapi mahu pihak yang berkaitan mengambil inisiatif bagi menangani masalah tersebut kerana ini mampu menjejaskan rantaian perindustrian di Lembah Klang.

"Keadaan jalan lencongan sangat teruk dan memperlahankan kenderaan dan kami tidak mempunyai jalan alternatif lain," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment