KAHERAH 4 Nov. - Selepas kira-kira empat bulan
ditahan di lokasi rahsia, bekas Presiden Mesir, Mohamed Mursi, hari ini
dibawa ke sebuah akademi polis di sini untuk dibicarakan di Mahkamah
Tinggi Kaherah atas dakwaan mencetuskan keganasan dan pembunuhan.
Ia merupakan kemunculan pertama Mursi di khalayak umum sejak beliau
digulingkan dalam satu rampasan kuasa oleh tentera pada 3 Julai lalu.
Jika didapati bersalah, Mursi yang merupakan Presiden Mesir pertama dipilih oleh rakyat, mungkin berdepan hukuman mati.
Menurut agensi berita MENA, Mursi dibawa ke akademi polis tersebut dengan helikopter.
Mursi didakwa bersama-sama 14 anggota kanan pergerakan Ikhwanul
Muslimin yang dibawa dari penjara di selatan Kaherah dengan kereta
berperisai polis.
Mereka menghadapi tuduhan mencetuskan keganasan berhubung kematian
berpuluh-puluh orang dalam pertempuran di luar Istana Presiden pada
Disember lalu selepas Mursi cuba meluaskan kuasa pentadbirannya.
Perbicaraan tersebut meningkatkan kebimbangan keadaan ketidakstabilan di negara ini akan bertambah buruk.
Sementara itu, Ikhwanul Muslimin berkata, pihaknya tidak akan
menghiraukan tindakan tegas pasukan keselamatan dan akan meneruskan
tunjuk perasaan untuk memberi tekanan kepada tentera supaya
mengembalikan kuasa pentadbiran negara kepada Mursi - AGENSI