25 November 2013

Murid tahun enam nekad minum cecair peluntur

IPOH - Tertekan cemuhan orang ramai selepas gagal mendapatkan MyKad, seorang murid tahun enam nekad minum cecair peluntur di rumahnya, petang kelmarin.


S Mahalachime, 12, dikatakan tertekan selepas diejek beberapa rakannya yang memperlekeh isu permohonan MyKad tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak dengan alasan tidak mempunyai wajah seiras ibunya telah mendapat liputan media.

Menurut ibunya, V Kamalla, 60, Mahalachime sempat diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Kami sekeluarga agak tertekan sejak beberapa bulan lalu namun tidak menyangka Mahalachime sanggup bertindak sedemikian.

“Disebabkan masalah ini berkemungkinan anak saya tidak berpeluang untuk ke sekolah menengah pada tahun hadapan kerana tidak mempunyai kad pengenalan,” katanya.

Sementara itu, Adun Buntong, A Sivasubramaniam berkata, Mahalachime diusik rakannya ketika ke kedai runcit berhampiran rumahnya.

“Rawatan lanjut masih dijalankan pihak hospital bagi mengenal pasti jika berlakunya kerosakan organ dalaman akibat cecair berkenaan, namun mangsa kini dilaporkan stabil selepas dirawat sejak malam kelmarin.

“Laporan polis dibuat ahli keluarga berhubung kejadian itu,” katanya. - SH

No comments:

Post a Comment