KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini semalam mengisytiharkan
mesyuarat agung tahunan (AGM) Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kali
ke-14 dan Pemilihan Jawatankuasa Seniman pada 26 Mei tahun lalu adalah
terbatal dan tidak sah.
Keputusan itu secara tidak langsung menggugurkan nama pelakon Zed Zaidi selaku Presiden Seniman berkuat kuasa semalam.
Keputusan itu dibuat selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop
mendapati, lima artis veteran yang menyaman Seniman dan tujuh yang lain
berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap defendan berhubung dakwaan
AGM itu sebagai tidak sah kerana minit mesyuarat telah dipalsukan dan
ahli baharu yang meragukan.
Tindakan itu adalah susulan daripada saman yang dikemukakan ahli-ahli
Seniman diketuai oleh Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (S. Sahlan),
Roslinda Buang (Linda Buang), Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk
Abdullah Sani (Sony Abdullah) telah memfailkan saman terhadap Seniman
pada 25 Januari lalu.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Presiden Seniman, Harun
Salim Bachik serta ahli jawatankuasanya iaitu Omar Kamarudin atau
dikenali sebagai Yusof Kelana, Wafa A. Kadir, Zed Zaidi, Elyas Ismail,
Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar dan Zaharudin Wahab atau dikenali sebagai
Den Wahab.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan mesyuarat agung dan pemilihan
jawatankuasa Seniman ke-14 diadakan semula dengan dikendalikan oleh
Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam tempoh dua bulan bermula semalam.
Rosilah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan
saksi-saksi plaintif dan defendan dan beliau mendapati plaintif telah
berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap defendan.
"Sepanjang perbicaraan, saksi-saksi defendan terutamanya Harun Salim
Bachik, Yusof dan Zed Zaidi telah memberi keterangan bercanggah dan
tidak konsisten," katanya.
Mahkamah turut memerintahkan Presiden Seniman ketika itu, Harun atau
nama sebenarnya Harun Aminar Rashid Salim, Yusuf Kelana atau Omar
Kamarudin dan Wafa A. Kadir membayar ganti rugi khas berhubung pembelian
hartanah di Setiawangsa di sini berjumlah RM56,000. - Kosmo
No comments:
Post a Comment