Setelah ditangguh dan diberi kelonggaran sejak Januari tahun ini,
gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak
serta Labuan, akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari tahun depan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot (gambar) berkata kerajaan
mengambil kira semua perkara yang boleh menjejaskan pelbagai sektor di
negara ini sebelum melaksanakan dasar berkenaan.
“Sebahagian besar majikan daripada hampir semua sektor di negara ini
memberi penjelasan tentang ketidakmampun mereka (melaksanakan dasar itu)
dan meminta penangguhan, maka kami menangguhkannya hingga 31 Disember
tahun ini. Gaji minimum akan dikuatkuasakan sepenuhnya di seluruh negara
mulai Januari tahun depan," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan
sijil kepada lepasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini hari
ini.
Riot berkata pelaksanaan gaji minimum ini terpakai bagi semua majikan, tanpa mengira lokasi perniagaan mereka.
“Sama ada perniagaan yang mereka jalankan di bandar atau di mana saja,
mereka tidak terkecuali daripada melaksanakannya," kata beliau.
Riot berkata pelaksanaan dasar itu terpaksa ditangguh kerana beberapa
sebab, termasuk berkaitan kemampuan kewangan syarikat atau majikan.
Perintah Gaji Minimum 2012 sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari
2013, dengan kadarnya dikaji setiap dua tahun. Bagaimanapun, ia
ditangguh bagi memenuhi permintaan 400 syarikat agar tarikhnya ditunda
kepada 31 Disember.
Pelaksanaan dasar gaji minimum itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak pada 30 April tahun lepas dan diwartakan pada 16 Julai.
Riot berkata ia ditangguhkan berikutan kajian teliti oleh Majlis Perundingan Gaji Negara.
“Kajian dibuat mengikut kes...dan penangguhan serta kelonggaran hanya
diberi selepas majlis itu yakin terdapat keperluan untuk berbuat
demikian," katanya.
Menurut beliau setakat ini, tiada permintaan secara bertulis diterima
daripada pengusaha tanaman sawit untuk menangguhkan pelaksanaan dasar
itu berikutan penurunan harga minyak sawit dunia.
“Kebanyakan pekerja dalam sektor perladangan adalah warga asing. Rakyat
Sabah, Sarawak dan Semenanjung tidak berminat bekerja dalam sektor
ini...sama ada kita suka atau tidak, inilah isu yang terpaksa kita
hadapi," katanya.
Laporan sebelum ini memetik ketua setiausaha kementerian berkenaan
Zainal Rahim sebagai berkata sejumlah 247 “syarikat mikro” dan 743
syarikat besar memohon penangguhan pelaksanaan dasar itu.
Syarikat mikro merujuk kepada sesebuah syarikat yang mempunyai tidak
lebih lima pekerja. Syarikat yang tergolong dalam kategori ini
sepatutnya melaksanakan dasar berkenaan mulai hari ini.
Syarikat besar yang mempunyai lebih 150 pekerja dalam bidang
perkilangan atau lebih 50 pekerja dalam bidang pembuatan perlu mula
membayar gaji minimum pada 1 Jan tahun ini. - Bernama, 3 November, 2013.
Gaji naik tidak bermakna jika harga barang dan perkhidmatan juga turut naik.