05 November 2013

Felda paling berjaya di dunia

Najib Tun Razak mencium tangan ibunya, Tun Rahah Mohd. Noah selepas merasmikan majlis pelancaran buku bergambar Tun Hajah Rahah - Meneroka Impian Mencapai Wawasan di Menara Felda di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Rosmah Mansor dan Tan Sri Isa Samad (kanan). - BERNAMA

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangunan tanah oleh Felda sehingga diiktiraf sebagai terbaik di dunia bukanlah pencapaian yang mudah sebaliknya memerlukan kepimpinan politik beriltizam.

Beliau berkata, ekoran daripada kejayaan itu, terdapat negara lain yang cuba mencontohi Felda, khususnya sebagai sebuah agensi pembangunan reformasi tanah tetapi mereka gagal.

Hakikatnya beliau berkata, Felda yang telah diasaskan oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kini muncul sebagai sebuah konglomerat yang mempunyai jasa begitu besar, khususnya kepada penduduk luar bandar serta orang Melayu.

''Terdapat lima kejayaan yang boleh dikaitkan dengan Felda. Pertama, konsep pembangunan reformasi tanah yang paling berjaya di dunia. Negara lain cuba mencontohi kita, hendak tiru kita tetapi tidak berupaya.
''Hantarlah orang Felda ke negara terbabit tetapi masih tidak berjaya juga, mengapa tidak menjadi? Inilah yang harus kita tanya. Kesimpulannya kerana kepimpinan politik yang beriltizam untuk menjayakan agenda ini,'' katanya.

Beliau berucap dalam majlis pelancaran buku bergambar bertajuk 'Meneroka Impian, Mencapai Wawasan' di Dewan Menara Felda, di sini hari ini.
Pelancaran buku terbitan Felda itu disempurnakan ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Tan Sri Mohammad Noah.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad.
Kejayaan kedua pula kata Perdana Menteri, kemampuan Felda membasmi kemiskinan.

Beliau berkata, ketika tanah Felda mula-mula dibuka, kadar kemiskinan adalah pada tahap kira-kira 70 peratus tetapi kini di bawah paras empat peratus.
''Sebanyak 112,000 peneroka Felda dan didarab enam sudahpun melepasi garis kemiskinan dan ini adalah hasil daripada kejayaan Felda,'' ujarnya.

Beliau berkata, kejayaan ketiga ialah mewujudkan pusat-pusat pertumbuhan baharu seperti Jengka, Serting dan banyak tempat lain yang tidak mungkin dapat dibangunkan jika tiada kuasa membeli.
''Apabila wujudnya tanah rancangan Felda akan ada kuasa membeli, sekali gus mewujudkan pusat-pusat pertumbuhan baharu,'' katanya.

Kejayaan keempat pula katanya, keupayaan Felda memberi peluang kepada generasi kedua untuk muncul sebagai kumpulan profesional sama ada di dalam kerajaan mahupun swasta.
''Malah, ada di antara mereka yang menjadi wakil rakyat. Mereka ini terdiri daripada anak-anak peneroka Felda,'' kata beliau.

Beliau berkata, kejayaan kelima ialah keupayaan Felda melakukan transformasi iaitu daripada badan pembangunan tanah kepada badan menjana kekayaan.
''Kemuncaknya apabila Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dapat disenaraikan pada Jun tahun lalu yang mana tawaran awam awal (IPO) FGV merupakan ketiga terbesar di dunia. Ini kejayaan yang boleh kita banggakan,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau berikrar untuk meneruskan legasi kejayaan Felda bukan setakat hari ini, malahan untuk 50 tahun akan datang.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menarik perhatian hadirin tiga 'B' yang menjadi imej kepada Allahyarham bapanya ketika melawat tanah rancangan Felda.

''Pertama 'berbush jacket'; kedua, bertongkat dan ketiga, berdehem. Namun begitu, sekarang sudah berbeza. Jika saya bertongkat akan jadi lain pula.
''Jadi, zaman berubah. Bila zaman berubah, imej dan strategi juga berubah, namun yang tidak berubah, semangat kita, prinsip kita matlamat perjuangan kita,'' kata beliau lagi. - Utusan

No comments:

Post a Comment