KUALA LUMPUR 21 Nov. - Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee
gagal dalam permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk
membatalkan pertuduhan bahawa mereka menyebabkan timbulnya perasaan
permusuhan dalam kalangan masyarakat berlainan agama.
Hakim Kamardin Hashim memutuskan demikian setelah mendapati tiada
merit dalam permohonan Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan
Vivian atau Lee May Ling, 24, dan Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan
adalah terpakai untuk semua penganut agama lain.
"Sepintas lalu membaca peruntukan berkenaan amat jelas sejelas gelas
kristal bahawa peruntukan tersebut langsung tidak menyebut secara khusus
bahawa peruntukan itu dituju khas kepada penganut beragama Islam.
"Perkataan-perkataan yang digunakan professing the same or different religions
(menganut agama yang sama atau berlainan) menunjukkan peruntukan itu
terpakai bukan sahaja kepada penganut agama Islam malahan terpakai
kepada penganut agama-agama atau kepercayaan yang lain juga,'' kata
beliau.
Kata hakim berkenaan lagi, seksyen tersebut adalah undang-undang yang
baik (good law) dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan
serta tidak wajar dibatalkan di bawah Perkara 4(1) perlembagaan itu.
"Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan itu adalah terpakai, sah dan
berkuat kuasa secara sejagat tanpa mengira bangsa, keturunan ataupun
agama yang dianuti oleh seseorang dan terpakai terhadap pemohon-pemohon
ini (Alvin dan Vivian),'' katanya.
Pada 21 Ogos lalu, pasangan itu memfailkan permohonan untuk
membatalkan satu daripada tiga pertuduhan yang dihadapi mereka kerana
mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.
Mereka memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan
tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta
tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka, dengan alasan sekiranya
pertuduhan itu sah di sisi undang-undang, ia hanya terpakai ke atas
orang Islam.
Mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, Alvin dan Vivian didakwa
memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen
yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama
dalam kalangan penganut agama berlainan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini pada pukul 10.48 malam, 7 Julai lalu.
Pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Wan
Shaharuddin Wan Ladin dan Hafizza Jemali manakala pasangan itu diwakili
peguam, Chong Joo Tian.
Sementara itu di luar mahkamah, Alvin yang ditemani Vivian membuat
permohonan maaf sekali lagi terhadap perbuatan mereka itu selain rasa
kesal terhadap perbuatan tersebut dan tidak berniat untuk menyakiti hati
mana-mana pihak.
"Kami ingin memohon maaf sekali lagi dan kami pasti tidak akan melakukan lagi perbuatan itu,'' katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Joo Tian memberitahu akan memfailkan rayuan berhubung
keputusan itu dan akan mengemukakan surat representasi kepada Peguam
Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.
Pasangan penulis blog itu turut menghadapi pertuduhan menerbitkan
penerbitan sama yang didakwa menghasut dalam Facebook di 568-14-18,
Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini antara pukul 9 malam, 6
Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.
Selain itu, mereka didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Perbicaraan terhadap pasangan itu telah ditetapkan pada 5 dan 6
Disember ini di Mahkamah Sesyen di sini di hadapan Hakim Murtazadi
Amran. - Utusan
No comments:
Post a Comment